24 Jun 2023 - YBrs. Tuan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur Encik Asmori bin Haji Sa'ahari telah mewakili YBM Belia dan Sukan Malaysia bagi merasmikan Kejohanan Taring Muay Thai Sport Fight.
Kejohanan ini dijalankan di ruang legar Plaza Ritze Perdana 2 Damansara Perdana dan kali pertama melibatkan hubungan strategik diantara Kelab Taring Muay Thai berkolaborasi bersama Persatuan Muay Thai Kuala Lumpur sempena majlis perasmian Kelab GYM Taring Muay Thai Fight dan pencarian bakat baru serta mengasah bakat terpendam para atlet Muay Thai di sekitar Kuala Lumpur.
Turut hadir, Presiden Persatuan Muay Thai Kuala Lumpur, Dato' Muhammad Shahnaz bin Azmi, Ketua Balai Polis Damansara Tuan Hafizul bin Mat Nor dan Presiden Persatuan Muay Thai Kuala Lumpur, Encik Kamal bin Mohamad Noor.
Majulah Sukan Untuk Semua, JBSWPKL Sentiasa memberikan sokongan.
25 Jun 2023 - YBrs.Tuan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur Encik Asmori bin Haji Sa'ahari telah diundang bagi merasmikan majlis penutupan Perkampungan Menara Gading Kuala Lumpur 2023.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP) dan telah berlangsung selama dua (2) hari semenjak 23 Jun 2023 (Jumaat) sehingga 25 Jun 2023 (Ahad) di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Persatuan ini bermotifkan memperkuatkan dan memajukan pemahaman , kecintaan serta pengamalan beragama di kalangan mahasiswa dan pelajar. Persatuan ini juga bertindak sebagai wadah bagi mahasiswa dan pelajar untuk berinteraksi, berkolaborasi dan berbagi pengetahuan serta pengalaman.
Pelbagai program telah dianjurkan bagi memperkuatkan kesedaran dan keimanan beragama dikalangan mahasiswa dan pelajar islam di Wilayah Persekutuan. Melalui program sebegini kegiatan dan kerjasama yang dilakukandapat memberikan kontribusi positif dalam pembentukan generasi muda berpegang teguh pada nilai nilai islam, berakhlak mulia dan berperanan aktif dalam masyarakat.
Pengisian program di laksanakan sepanjang kursus dijalankan seperti pendekatan dan memberi gambaran sebenar kepada peserta berkaitan kehidupan seorang mahasiswa di universiti.
Menurut Ketua Fasilitator program Encik Muhammad Khumaidi bin Abdullah. Beliau menyatakan hasrat untuk terus memperbanyakan lagi program dan aktiviti berbentuk pembangunan modal insan dan menerapkan kesahsian sebagai jati diri dalam setiap individu yang bakal bergelar Mahasiswa.
Semoga Usaha berkekalan dan sentiasa mendapat sambutan serta sokongan.
MENTERI BELIA DAN SUKAN MELANCARKAN PROGRAM KBS X KUALA LUMPUR CAR FREE MORNING 2023
DATARAN DBKL, 25 Jun 2023: Menteri Belia Dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah melancarkan program KL Car Free Morning 2023 Edisi Kementerian Belia Dan Sukan (KBS X KLCFM 2023) bertempat di Dataran DBKL, Jalan Raja Laut, KL.
Penganjuran KLCFM Edisi KBS akan berlangsung secara bulanan pada setiap hari Ahad minggu keempat dengan mengekalkan pengisian aktiviti utama seperti berbasikal, larian dan berjalan kaki. Edisi KBS juga akan mengetengahkan aktiviti utama ini dengan pelbagai tema pakaian yang akan menjadi tarikan utama pada edisi-edisi yang akan datang.
Turut hadir sama YBhg. Datuk Mohd Shuhaily bin Mohd Zain, Ketua Polis Kuala Lumpur, YBhg. Datuk TPr. Sulaiman bin Mohamed, Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, YBhg. Ts. Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS serta Tetamu Kehormat daripada PBT dan agensi-agensi lain.
KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur yang diketuai oleh YBrs. Encik Asmori bin Haji Sa'ahari selaku Pengarah amat berharap agar pelaksanaan program ini akan berjalan lancar dan mendapat sokongan daripada orang ramai terutamanya warga kota WP Kuala Lumpur.
MAJLIS PERASMIAN PENUTUP PROGRAM INSPIRE iTALENT & SESI LATIHAN BAKAT BARU
KG. PANDAN, 24 Jun 2023: Majlis Perasmian Penutup dan Penyerahan Sijil Penyertaan sempena Program Inspire iTalent Peringkat WP Kuala Lumpur 2023 telah disempurnakan oleh Encik Asmori bin Hj Sa'ahari, Pengarah JBSWPKL. Turut hadir bersama ialah Pengurus-pengurus Pasukan Sukan Para Peringkat WPKL.
Setelah Majlis Perasmian Penutup, para peserta juga telah diberi kesempatan untuk mencuba dan berlatih mengikut jenis sukan yang diminati disamping para pengurus sukan akan melihat sendiri potensi dan bakat anak muda OKU ini mengikut kesesuaian sukan yang dipertandingkan dalam kategori ParaSukma khususnya.
Latihan seperti Olahraga, Ping Pong, Badminton serta Renang telah diadakan pada hari tersebut dan peserta yang mempunyai potensi akan diketengahkan agar dapat menjadi wakil atlet WP Kuala Lumpur dalam Sukan Para.
INSPIRE iTALENT PERINGKAT WP KUALA LUMPUR 2023 MENDAPAT SAMBUTAN BAIK DI KALANGAN BELIA OKU
KAMPUNG PANDAN, 24 Jun 2023: Program pencarian bakat baru sukan pelapis atlet OKU, Inspire iTalent ini telah mendapat sambutan di luar jangka dengan kehadiran 80 orang peserta yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kg. Pandan, Kuala Lumpur.
Program ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Sukan, JBSWPKL dengan kerjasama Persatuan Para Renang WP Kuala Lumpur dan sokongan padu oleh Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur.
Setiap peserta yang hadir akan diuji mengikut kategori kelainan upaya masing-masing yang telah dibahagikan kepada beberapa Stesen Ujian yang akan dikendalikan oleh penguji yang terlatih. Penjaga dan guru pembimbing yang turut hadir telah memberi sokongan dan membantu para penguji dalam menjancarkan proses ujian yang dijalankan.
Program ini juga telah menarik minat ramai belia OKU serta menggalakkan anak muda OKU untuk terus bersukan.
Wangsa Maju, 24 Jun 2023 - Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS): Renang Siri 1 Peringkat Kawasan Wangsa Maju telah berakhir dengan jayanya di Tunku Abdul Rahman University College (TARUC) pada hari Sabtu, 24 Jun 2023. Seramai 40 peserta dari pelbagai sekolah di kawasan Wangsa Maju telah menyertai program ini yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran renang mereka.
Program KLAS ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara dengan kerjasama Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia (MASWIM) sebagai inisiatif untuk memastikan kemahiran renang dapat diterapkan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada kanak-kanak di seluruh negara.
Program KLAS: Renang Siri 1 Peringkat Kawasan Wangsa Maju telah berlangsung selama 6 sesi bersamaan 3 minggu, dengan peserta mendalami pengetahuan tentang teknik dan kaedah berenang yang betul, keselamatan dalam air, teknik pernafasan, keyakinan dalam air, teknik apungan, jenis pakaian yang sesuai serta pemilihan lokasi berenang yang selamat. Peserta telah dibimbing oleh jurulatih-jurulatih pakar yang menyediakan pengajaran teknikal yang baik dalam meningkatkan pengetahuan peserta-peserta cilik ini. Menurut Encik Mohd Shukri Yaakob, bapa kepada salah seorang peserta, merasakan program ini memberikan manfaat yang besar dalam meningkatkan pengetahuan mengenai sukan renang. Beliau menyatakan, "Saya sangat berterima kasih kepada pihak penganjur yang telah memberikan peluang ini kepada kami. Anak saya kini sangat selesa dan lebih yakin ketika berada di dalam kolam. Saya berharap program seperti ini akan diteruskan untuk memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia khusunya kanak-kanak."
Penyampaian sijil program ini telah disempurnakan oleh Cik Magdelene Anak Manjah, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Batu/Wangsa Maju. Turut hadir sama ialah semua pegawai PBSK Batu/Wangsa Maju.
KEM BELIA SEJAHTERA (K-BEST) PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR BERAKHIR DENGAN JAYANYA
Maran, 25 Jun 2023 - Program Kem Belia Sejahtera Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berakhir dengan jayanya di Kem Wawasan Negara, Maran Pahang. Seramai 60 peserta telah berjaya mengikuti kem bermula pada hari Jumaat sehingga Ahad, 23 hingga 25 Jun 2023.
Program Kem Belia Sejahtera adalah sebuah inisiatif untuk melahirkan belia yang mempunyai kesedaran terhadap matlamat hidup dan tanggungjawab diri, keluarga, agama bangsa dan negara disamping untuk meningkatkan kesedaran serta pengetahuan mengenai bahaya masalah sosial dalam kalangan belia. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam program ini merangkumi sesi latihan kepimpinan, ceramah motivasi, dan permainan dalam kumpulan.
Dalam ucapan penutup, En Mohd Khairi Shah bin Mohd Ariffin, Penyelarasan Program Kem Belia Sejahtera WP Kuala Lumpur, mengucapkan tahniah kepada peserta yang telah berjaya menamatkan program ini. Beliau menyatakan, "Saya amat kagum dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh peserta sepanjang kem ini. Mereka telah memperoleh ilmu dan pengalaman berharga yang akan memberi impak positif dalam pembangunan diri mereka."
Majlis penutupan juga turut diserikan dengan kehadiran En Lim Chow Kiat, Timbalan Pengarah Belia, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Beliau mengucapkan tahniah kepada peserta dan berterima kasih kepada Pihak Kem Wawasan Negara, Maran kerana menerima baik anjuran program ini dan memberikan peluang kepada pihak JBSWPKL untuk melaksanakan program. Tambahan pula, Beliau berharap, selepas ini lebih banyak lagi kerjasama antara kedua belah pihak dapat dijalankan bersama.
TERIMA KASIH KEM WAWASAN NEGARA MARAN!
Program Kem Belia Sejahtera Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berakhir dengan kejayaan yang gemilang.. Program ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa dalam membantu pembangunan belia dan membentuk generasi muda yang cemerlang dan berdaya saing dalam masyarakat. Diharapkan program sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.
PERSIAPAN TEMPAT BERSAMA URUS SETIA PROGRAM INSPIRE iTALENT PERINGKAT WPKL 2023
KG. PANDAN, 23 Jun 2023: Urus Setia Program Inspire iTalent Peringkat WPKL 2023 telah membuat persiapan tempat bagi mengadakan stesen ujian Inspire iTalent yang merangkumi enam (6) Stesen termasuk Antropometri, Lontaran Bola Keranjang, Lompat Jauh Berdiri, Ujian Larian 20 meter, Ujian Ketangkasan 505 dan Ujian Keseimbangan Statik.
Program anjuran Unit Pembangunan Sukan OKU, Bhg. Pem. Sukan dengan kerjasama Persatuan Renang Para WPKL, diketuai oleh Encik Mohd Faidurrida bin Yusoff akan diadakan pada 24 Jun 2023 (Sabtu) pada pukul 8.00 pagi bertempat di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg. Pandan, Kuala Lumpur.
JEMPUTAN KE MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA PENGANJURAN KLCFM BIL 10 TAHUN 2023
MENARA DBKL 3, 22 Jun 2023: Satu mesyuarat di Peringkat DBKL berkaitan Penganjuran KL Car Free Morning telah diadakan bagi membincangkan status terkini gerak kerja pelaksanaan Pelancaran Program KLCFM yang akan diadakan pada 25 Jun 2023 (Ahad) daripada semua Jawatankuasa yang terlibat dan beberapa penambahbaikan serta cadangan (Backup Plan) dirancang sekiranya berlaku perkara di luar jangka.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBrs. Encik Khairul Azmir bin Ahmad, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan Dan Sukan, DBKL telah dihadiri oleh wakil daripada Jabatan Belia Dan Sukan WPKL iaitu Encik Mohammad Pauzi bin Paiman, Timbalan Pengarah (Sukan) dan Puan Melyani Fitria Binti Indra, Penolong Pegawai Pembangunan Kecergasan Nasional.