3 Jun 2022, Jumaat - PBSK Seputeh telah mengadakan taklimat ringkas dan cabutan undian bagi pertandingan 3 x 3 Bola Keranjang Malaysia Sports League Peringkat Kawasan Seputeh 2022.
Cabutan undi diadakan secara dalam talian dan telah dilaksanakan dengan baik oleh kakitangan PBSK Seputeh
Sabtu , 4 Jun 2022 - PBSK Seputeh membuat persiapan akhir bagi melangsungkan acara sukan 3x3 Bola Keranjang Malaysia Sports League yang akan berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Terbuka, KLSC, Bukit Jalil.
Terima kasih diucapkan kepada team Perbadanan Stadium Malaysia yang memberi peluang menggunakan kemudahan fasiliti kepada PBSK Seputeh untuk menganjurkan sukan ini.
Kuala Lumpur, 4 Jun 2022 - Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara telah menganjurkan Program Women Sports Challenge (WSC) pada 4 dan 5 Jun 2022 bertempat di Kompleks Sukan Sky Arena, Setapak, Kuala Lumpur. Majlis Perasmian pada hari ini telah disempurnakan oleh Encik Sabran bin Abd. Bahar, Pemangku TKP Bahagian Pembangunan Sukan mewakili Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Program Women Sports Challenge (WSC) bertujuan untuk merealisasikan hasrat Kerajaan bagi menggalakkan dan Menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Negara Sukan”(Sporting Nation) disamping meningkatkan penglibatan dan penyertaan wanita dalam aktiviti sukan selaras dengan objektif Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2021-2025.
Perlaksanaan Program Women Sports Challenge (WSC) dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara Jabatan Belia dan Sukan Negara bersama persatuan-persatuan sukan yang berkaitan mengikut jenis sukan yang dipertandingkan iaitu Bola Jaring, Futsal dan Bola Tampar.
Turut hadir ke majlis perasmian tersebut adalah Encik Halman bin Salleh, Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Sukan dan Puan Norsafinah binti Haya, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju mewakili Jabatan Belia dan Sukan W.P Kuala Lumpur.
Sentul, 4 Jun 2022 - Telah berlangsung dengan jayanya Program Malaysia Sport League (MSL) 2022 peringkat kawasan Batu bagi acara sukan bola Keranjang (3 on 3) pada hari ini bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama. Program berkenaan merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran YBrs. Encik Asmori bin Haji Sa’ahari, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan W.P Kuala Lumpur yang turut membuat balingan sebagai simbolik penganjuran program tersebut.
Pasukan Wolf telah dinobatkan sebagai Johan bagi kategori lelaki manakala Pasukan Maaruf Fc bagi kategori wanita pada kali ini dan akan mewakili Kawasan Batu untuk bertanding di peringkat negeri nanti.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Norsafinah binti Haya, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju. Program berkenaan diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama para pemenang. Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada para pemenang.
KUANTAN, 4 Jun 2022:Tahniah dan syabas diucapkan kepada Penolong Pegawai Belia dan Sukan di Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur En.Sazzlan Bin Yuga diatas penerimaan Anugerah Khas Pahlawan Pahang sebentar tadi.
Anugerah khas diatas sumbangan memartabatkan Persilatan Negeri Pahang itu telah diberikan kepada beliau diatas sumbangan Pingat Emas mengharumkan nama Malaysia di Sukan Sea baru-baru ini.
Majlis Penganugerahan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertempat di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Bin Ismail Paya Besar, Kuantan, Pahang.
Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur mengucapkan sekalung tahniah dan syabas kepada En.Sazzlan Yuga yang menjadi kebanggaan dan contoh yang baik kepada seluruh warga kerja Jabatan.
BUKIT KIARA, 4 Jun 2022: Pertandingan Bola Keranjang 3 on 3 MSL 2022 Peringkat Kawasan Lembah Pantai sedang berlangsung pada hari ini di Gelanggang Serbaguna Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara.
Turut hadir merasmikan balingan pertama ialah Encik Asmori Haji Sa'ahari, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur. Selamat berjaya diucapkan kepada pasukan yang bertanding. Hadiah berjumlah RM1,400 menjadi taruhan untuk pasukan yang bertanding dan seterusnya menempah tempat bagi mewakili kawasan Lembah Pantai ke pertandingan di peringkat negeri.
MSL 2022 dilaksanakan secara serentak di setiap kawasan di WP Kuala Lumpur. MSL Peringkat Kawasan Lembah Pantai dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai dengan kerjasama Majlis Belia Kawasan Lembah Pantai dan juga DBKL Lembah Pantai.
TITIWANGSA, 1 Jun 2022:Unit Pembangunan Sosial, Bahagian Pembangunan Belia JBSWP Kuala Lumpur bersama Pegawai Belia dan Sukan kawasan Titiwangsa/Setiawangsa dan Majlis Belia Kawasan Titiwangsa telah membuat lawatan cadangan tapak program Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Objektif program ini adalah untuk penghargaan dan pengiktirafan daripada pihak Kerajaan kepada golongan belia yang menyumbang kepada pembangunan negara dan menaikkan semangat kecintaan dan patriotism kepada golongan belia supaya terus menyumbang kepada pembangunan mesyarakat dan negara.
Pihak Jabatan akan membuat lawatan susulan sekiranya cadangan ini mendapat persetujuan di peringkat agensi yang berkaitan dan seterusnya membuat lawatan kali kedua bersama rakan kerja strategik, Majlis Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta agensi-agensi yang berkaitan.
BUKIT KIARA, 1Jun 2022: Telah diadakan satu perbincangan sempena Program Hari Belia Negara peringkat kawasan pada hari ini bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju.
Program berkenaan dijangka akan berlangsung pada Julai 2022 dan merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Kawasn Batu / Wangsa Maju dengan kerjasama persatuan belia di sekitar kawasan Batu dan Wangsa Maju.
Perincian program telah disampaikan oleh Puan Norsafinah binti Haya, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju. Perbincangan tersebut dihadiri seluruh warga kerja, Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju.
SENTUL, 1Jun 2022: Telah diadakan satu lawatan tapak sempena Program Malaysia Sports League (MSL) 2022 peringkat kawasan Batu bagi acara sukan Sepak Takraw bertempat di Gelanggang Sepak Takraw, Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.
Program berkenaan akan berlangsung pada 11 Jun 2022 dan merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju dengan kerjasama Majlis Belia Kawasan Batu serta Kelab Belia Sri Perak.
Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Batu / Wangsa Maju diwakili oleh Cik Hazriati binti Abdul Hamid, Penolong Pegawai Belia dan Sukan dan Encik Mohd. Safian bin Mat Sahat, Pembantu Belia dan Sukan manakala Encik Norikman Fitri @Dino dan Encik Wan mewakili Majlis Belia Kawasan Batu dan Kelab Belia Sri Perak.