- JBS Kelantan
- Hits: 812
BERSUKAN SAMBIL BERBAKTI
PASIR PUTEH, 9 MAC 2020 – Kelab Belia Pasir Puteh dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh telah menganjurkan satu Pertandingan Sepak Takraw Tertutup Pasir Puteh dalam usaha untuk menarik lebih ramai penyertaan untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim di Maahad Al Ghano, Kg. Pematang Gading Pasir Puteh pada 27 Februari yang lalu.
Kejohanan yang disertai oleh 24 pasukan itu turut berjaya mengumpul dana dan sumbangan berbentuk tunai dan barangan keperluan dapur untuk diberikan kepada maahad tersebut dan golongan asnaf di sekitar kampung tersebut.
Saudara Nurol Hazizi Ismail, Pengerusi Kelab Belia Pasir Puteh melahirkan rasa gembira dan terharu atas sokongan semua pihak dalam menjayakan program pada kali ini. Beliau kemudian dijemput untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang kurang bernasib baik.
Kejohanan Sepak Takraw itu melabuhkan tirai apabila Imam Uwais Al Qorni Haji Nordin selesai menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Pasir Puteh
- JBS Kelantan
- Hits: 812


