
TANAH MERAH, 30 OGOS 2021 – Program Pemerkasaan Pertubuhan Belia Peringkat Daerah Tanah Merah telah dilaksanakan dengan jayanya menerusi aplikasi Zoom Meeting pada Sabtu 28 Ogos 2021 yang lalu.
Program ini dirangka untuk memberi pendedahan kepada para peserta yang terdiri daripada ahli-ahli dan pemegang jawatan tertinggi kelab dan persatuan belia tentang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668). Di samping itu, peserta juga didedahkan dengan tatacara penyediaan Minit Yang Kena Diberi (MYKD), penekanan kepada kepentingan penghantaran MYKD dan kesan-kesan jika sebaliknya dan juga kepentingan untuk mematuhi perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan persatuan dan kelab masing-masing.
Program Pemerkasaan Pertubuhan Belia Peringkat Daerah Tanah Merah ini dianjurkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan dengan Kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah.
Perasmian majlis telah disempurnakan oleh YB Ustaz Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan. Beliau dalam ucapan perasmian nya, menyeru agar semua pertubuhan belia di daerah Tanah Merah agar sentiasa pro-aktif dan memantapkan komunikasi dan hubungan antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah sekaligus menjadi rakan strategik bagi melaksanakan program-program di peringkat daerah dan negeri. Terdahulu, Puan Laila Nazura binti Nawi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah menyampaikan ucapan alu-aluan kepada semua hadirin yang hadir memeriahkan program.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
- JBS Kelantan
- Hits: 425

