TANAH MERAH, 9 JULAI 2023 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan daerah Tanah Merah telah mengadakan program Fit@Community Peringkat Negeri Kelantan Siri 5 Tahun 2023. Program ini telah diadakan di Dewan Kolej Vokasional Tanah Merah pada 08 Julai 2023 pada jam 08.00 pagi.
Pogram ini telah dimulakan dengan acara berjalan kaki dan diteruskan dengan acara senamrobik. Seramai 187 orang peserta yang terdiri daripada masyarakat setempat dan penggiat aerobik di sekitar Tanah Merah telah hadir memeriahkan program ini.
Turut hadir pada program ini adalah Puan Rahimah binti Abdullah (Pegawai Kecergasan Nasional Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan) dan En Aris bin Awang (Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah). Diharapkan program seperti ini akan dapat diadakan lagi di masa akan datang kerana program seperti ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
KELANTAN, 9 JULAI 2023 – YBrs Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan hari ini telah menyempurnakan Majlis “Flag Off” Larian Keamanan (Run For Peace) Negeri Kelantan 2023 yang merupakan program anjuran Soka Gakkai Malaysia Cawangan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan pada 7 Julai 2023 lalu.
Larian Keamanan (Run for Peace) adalah acara larian yang bersifat bukan kompetitif mula berlangsung pada tahun 2005 dan sejak itu acara tersebut telah dianjurkan sebanyak lapan kali dengan jayanya. Manakala pada tahun ini melibatkan 23 lokasi seluruh Negara dan salah satu siri larian berlangsung di Negeri Kelantan. Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu telah terpilih sebagai tempat pelepasan larian sejauh 5.5 kilometer dan telah dibanjiri seramai 1,700 orang peserta yang telah berkumpul seawal jam 6 pagi lagi.
Selain memberi tumpuan kepada mempromosikan budaya keamanan di Malaysia dengan penekanan khusus pada isu penghapusan senjata nuklear, Larian Keamanan (Run for Peace) 2023 turut membawa misi merealisasikan agenda 2030 bagi matlamat pembangunan mampan ataupun Sustainable Development Goals (SDG).
Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria dalam ucapannya menyokong penuh misi ini yang selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia Madani yang menekankan prinsip kemampanan dan kesejahteraan untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih makmur dan maju. Beliau turut mengucapkan syabas kepada Soka Gakkai Malaysia Cawangan Kelantan atas kejayaan menganjurkan acara hari ini.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang menyertai acara hari ini dan berjaya menamatkan larian sejauh 5.5KM. Semoga program kecergasan seumpama ini sentiasa mendapat sambutan dan diteruskan demi kesihatan diri.
Turut hadir hari ini ialah Tuan Haji Raja Azman Bin Raja Ibrahim, Pengetua Maktab Sultan Ismail, Encik Hazri Nizam bin Zakaria,Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan , Puan Chew Moi Luan, Pengerusi SGM Cawangan Kelantan dan En Loh Vooi Keat, Pengerusi Run For Peace Tahun 2023.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Sukan JBSN Kelantan
KELANTAN, 9 JULAI 2023 – Telah berlangsung Mesyuarat Penyelarasan Program Jelajah Rakan Muda Peringkat Negeri Kelantan 2023. Mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan itu telah memutuskan beberapa perkara penting yang akan dilaksanakan dalam siri Jelajah Rakan Muda @Kelantan.
Jelajah Rakan Muda @Kelantan ini, merupakan siri aktivasi 10 Gaya Hidup Rakan yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada 25 Jun 2023. Siri Jelajah Rakan Muda yang akan dilaksanakan di Negeri Kelantan ini akan berlangsung pada 22 Julai 2023 (Sabtu) bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Jelajah Rakan Muda @Kelantan ini mensasarkan penyertaan seramai 1000 orang peserta dari kalangan remaja yang berumur di antara 15 hingga 25 tahun. Pelbagai aktiviti menarik seperti Senaman Melayu, Himpunan Seni Mempertahankan Diri, Pertandingan Mobile Lagend, Pertandingan Dikir Barat, Skills For Life, Seni Mural dan Himpunan Kelab-Kelab Motor dan Pertandingan Motorshow yang akan dilaksanakan sepanjang Jelajah Rakan Muda @Kelantan ini.
Yang Berhormat Tuan Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan akan turut bersama-sama dalam Jelajah pada kali ini sekaligus merasmikan Program Jelajah Rakan Muda @Kelantan 2023. Dengan kehadiran beliau ini diharapkan akan dapat menyemarakkan lagi siri aktiviti 10 Gaya Hidup Rakan Muda.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSNK
KUALA KRAI, 9 JULAI 2023 – “Dokumentasi pengurusan kewangan yang telus dapat mengatasi atau sekurang-kurangnya boleh mengurangkan berlakunya kes rasuah. Kerja sambal lewa perlu dihindarkan agar dapat menjamin mutu kerja yang berkualiti kerana bekerja adalah suatu amanah yang menuntut kekuatan mental, fizikal dan rohani daripada semua Penjawat Awam".
Demikian perutusan Tuan Mohd Saifuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) Bil 2/2023 pada 6 Julai 2023 lalu yang dihadiri oleh Puan Rosnani binti Haji Abdullah Zawawi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai Bersama-sama semua Pegawai Belia dan Sukan seluruh Negeri Kelantan.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
KUALA KRAI, 9 JULAI 2023 – Telah berlangsung Kejohanan Sukan Wisma Persekutuan Kuala Krai pada 6 Julai 2023 lalu bagi acara karom lelaki bertempat di Kantin Wisma Persekutuan Kuala Krai pada hari ini. Seramai 19 orang kakitangan awam dari setiap agensi yang berada disini menyertai program dibahagikan kepada 4 kumpulan dalam acara ini.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai diwakili oleh Encik Noorazihan bin Jusoh, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai.
Disediakan Oleh: Urusetia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
BACHOK, 9 JULAI 2023 - Masalah salah laku pelajar semakin serius dan membimbangkan kebelakangan ini. Kejadian salah laku pelajar seperti bergaduh, menyerang, membunuh, membakar sekolah kerap dipaparkan diakhbar-akhbar. Salah laku pelajar hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat kerana mereka bakal pewaris dan penentu pembangunan negara.
Bagi membendung permasalahan sosial sebegitu, telah berlangsung Program Intervensi Sosial Dari Belia Untuk Belia (Y2Y) Peringkat Daerah Bachok bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok pada hari ini. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada peserta berkaitan risiko terlibat dalam jenayah dan masalah sosial, membimbing peserta untuk memantapkan sahsiah dan identiti diri, mencegah keterlibatan belia dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, jenayah kekerasan, jenayah harta benda, rasuah, kebangkrapan, kecelaruan jantina, pemerdagangan orang, melayari/menonton pornografi dan lain-lain.
Seramai 216 orang peserta telah terlibat secara langsung di dalam program ini. Program yang dimulai dengan ceramah yang bertajuk Jenayah Siber: - Modus Operandi Scammer telah disampaikan oleh Inspektor Noor Ashikin binti Abu Hashim daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) dan diikuti dengan Ceramah Kesihatan Mental oleh Doktor Ili Hazwani binti Muhammad Zain daripada Pejabat Kesihatan Daerah Bachok.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Muhammad Yani bin Yusoff, Timbalan Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Bachok. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Puan Hajah Norma binti Yasim, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Encik Saidin bin Mustapha, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok dan Encik Ahmad Faris bin Yusof, Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Bachok.
TANAH MERAH, 9 JULAI 2023 – Majlis Sukan sekolah–sekolah daerah Tanah Merah telah mengadakan Kejohanan Bola Baling Peringkat Daerah Tanah Merah bagi tahun 2023 yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Bukit Panau yang bermula pada 03 Julai 2023 sehingga 05 Julai 2023. Kejohanan ini telah disertai oleh 6 buah sekolah di seluruh daerah tanah merah dimana kategori bawah 18 tahun lelaki dan bawah 18 tahun perempuan diadakan.
Sekolah Menengah Dato Mahmud Paduka Raja 1 yang telah dilatih oleh salah seorang kakitangan Pejabat Belia dan Sukan daerah Tanah Merah telah berjaya mendapat Johan bagi Kategori bawah 18 tahun lelaki dan Ketiga bagi Kategori bawah 18 tahun perempuan.
Pengalamannya sebagai pemain bola baling dan sedikit ilmu berkaitan kejurulatihan bola baling telah dicurahkan kepada pemain–pemain bola baling SMK Dato Mahmud Paduka Raja 1. Beliau juga sekarang memegang sijil kejurulatihan dan kepengadilan Bola Baling tahap 1.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tanah Merah
KELANTAN, 4 Julai 2023 – Pengurusan Jabatan yang baik adalah penting dalam setiap organisasi. Pengurusan organisasi yang baik dapat meningkatkan produktiviti kerana ia memastikan bahawa semua tugasan dijalankan dengan efisien dan berkesan. Pengurusan pentadbiran Jabatan yang teratur dan berstruktur dapat membantu menghasilkan mutu kerja yang lebih baik.
Di peringkat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBNSK), Mesyuarat Pengurusan diadakan secara berkala. Bagi Mesyuarat Pengurusan Bilangan 3 Tahun 2023 telah diadakan pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 2, JBSNK. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria dan dihadiri oleh Pegawai Pengurusan Tertinggi Jabatan serta Pegawai - Pegawai Belia dan Sukan Daerah.
Dalam ucapan aluan, pengerusi menekankan supaya pegawai dan kakitangan agar mengekalkan suasana harmoni serta menjaga hubungan baik sesama sendiri bagi meningkatkan prestasi keseluruhan organisasi dan perlaksanaan setiap tugasan perlulah dilaksanakan secara berpasukan serta pembahagian tugas mengikut kemahiran serta kebolehan pegawai. Selain daripada itu juga pengerusi mengingatkan agar pegawai dan kakitangan sentiasa menjaga kualiti kerja kerana ini akan meningkatkan kepuasan pelanggan dan dapat menjaga reputasi Jabatan.
Berita disediakan oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pentadbiran JBSNK
KOTA BHARU, 4 JULAI 2023 - Satu Perbincangan Program Fit@ Community Peringkat Negeri Kelantan (Daerah Kota Bharu) telah diadakan pada 3 Julai 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Pentadbiran HUSM Kubang Kerian. Program ini akan dilaksanakan pada 13 Julai 2023 bertempat di Kompleks Sukan 2, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang kerian secara kolaborasi bersama Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Hospital USM.
Objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan yang membawa manfaat dari aspek kesihatan dan perpaduan sebagai pemangkin dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif.
Perbincangan ini telah menemukan Puan Naziah binti Dollah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dan Puan Waniha binti Daud, Timbalan Pengerusi Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Hospital USM Kubang Kerian. Perbincangan ini telah mencetuskan idea-idea yang bernas bagi menjayakan Program ini.
Disediakan Oleh Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu