TERENGGANU , 2 MAC 2023 - YB Adam Adli Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia buat julung kalinya telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Negeri Terengganu pada 1 Mac 2023. Lawatan kerja rasmi ini dimulakan dengan sesi lawatan ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dan satu majlis taklimat dan dialog mesra telah di adakan bersama-sama warga JBSNT dengan YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Ustaz Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah Pengerusi JK Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Encik Abd Aziz bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah JBSN, Encik Mohd Izwandy bin Ismail Pengarah JBSNT, Tuan Haji Mohd Soud bin Said Pengarah UPDI dan Encik Anas Hazizul Muhammad Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu.
Majlis diteruskan dengan taklimat daripada JKR Kuala Terengganu berkaitan projek naik taraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu dan YB Adam Adli telah dibawa ketapak projek selepas selesai taklimat. Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu di jangka akan di buka kepada masyarakat umum pada Oktober 2023.
Pada sesi sebelah malam, YB Adam Adli telah menghadiri Tayangan Skrin Besar Liga Super 2023 anjuran bersama antara Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Malaysia Football League (MFL) yang melibatkan perlawanan antara Terengganu FC dan Kedah Darul Aman. Hampir tiga ribu orang orang telah hadir di Dataran Baru Buruk bagi memberi sokongan kepada Terengganu FC.
Program turut di meriahkan dengan pertandingan kuiz dan hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh YB Adam Adli Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan YB Ustaz Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah Pengerusi JK Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu.
Turut hadir pada malam ini ialah Datuk Bandar Kuala Terengganu Tuan Haji Rosli bin Latif.
TERENGGANU, 28 FEBRUARI 2023 - Ayuh kita bagi sokongan untuk Tiga Mata pertama @officialterengganufc malam esok bertemu @kedahdarulamanfc dalam perlawanan Liga Super 2023! Sertai kami di Dataran Pantai Baru Buruk bersama YB @adamadli_ Timbalan Menteri Belia & Sukan dan YB @ustazwansukairi EXCO Belia, Sukan & NGO Terengganu.
KEMAMAN , 28 FEBRUARI 2023 - SatuTaklimat dan Lawatan Tapak Sebut Harga bagi kontrak kebersihan dan keselamatan bagi Kompleks Rakan Muda Daerah Kemaman tahun 2023/2025.
Taklimat telah disampaikan oleh Encik Esa Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kemaman bertempat di Bilik Kuliah 1, Kompleks Rakan Muda Daerah Kemaman pada 21 Februari 2023 lepas. Turut hadir Puan Fadhila dari unit kewangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu bagi menjayakan taklimat ini.
Seramai 84 kontraktor kebersihan serta 23 kontraktor keselamatan hadir bagi mendengar taklimat dan membuat lawatan di sekitar kawasan kompleks. Lawatan ini juga bertujuan untuk memantau kawasan yang perlu diselenggara dengan lebih terperinci.
KEMAMAN, 28 Februari 2023 - Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Kompleks Rakan Muda Daerah Kemaman di perkarangan Gelanggang Futsal Kompleks Rakan Muda tersebut. Majlis menandatangani penyerahan dan terima projek telah disempurnakan oleh Ir. Mohd Ali Bin Ismail, Jurutera Daerah JKR Daerah Kemaman diserahkam kepada Encik Mohd Izwandy Ismail, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu sebagai pihak pelanggan pada 22 Februari 2023 yang lalu.
Turut hadir bagi memeriahkan majlis penyerahan tersebut iaitu Encik Mohd Qayyum Bin Rahman, Timbalan Pengarah JBSN Terengganu, Puan Nurul Afifa Sofina Binti Azmi, Penolong Pengarah JBSN Terengganu serta Encik Esa Bin Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kemaman.
Projek ini merangkumi kemudahan asrama, pelbagai kemudahan sukan serta bilik pelbagai guna. Semoga kemudahan yang disediakan di Kompleks Rakan Muda Daerah Kemaman ni dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada pengguna terutama para belia di sekitar Daerah Kemamam.
DUNGUN, 27 FEBRUARI 2023 - Meskipun bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Dungun, Terengganu telah berlalu, namun kesannya masih dirasai oleh mangsa banjir. Dalam usaha untuk membantu mangsa banjir, beberapa siri bantuan telah diberikan oleh pelbagai pihak termasuklah gabungan solidariti yang terdiri daripada Pejabat Daerah Dungun, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Dungun dan Pejabat Perpaduan dan Integrasi Nasional Daerah Dungun serta pelbagai Badan Bukan Kerajaan seperti Majlis Belia Daerah Dungun.
Siri program bantuan yang terbaru dilaksanakan baru-baru ini menyasarkan mangsa banjir di Kampung Durian Mentangau, Dungun, Terengganu.
Barangan keperluan asas seperti beras, gula, lampin, minyak, pakaian dan sebagainya telah diberikan kepada mangsa banjir. Gabungan solidariti ini berharap bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh mangsa banjir.Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Kelab Rakan Muda Dungun turut membantu menjayakan program penyampaian bantuan ini bertempat di Dewan SK Durian Mentangau pada 17 Februari 2023 yang lalu.
DUNGUN, 27 FEBRUARI 2023 – Taklimat Sekretariat Rakan Muda IPT dan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda yang berlangsung pada 16 Februari 2023 lalu telah disampaikan oleh Encik Muhamad Nur Firdaus bertempat di Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (JSKK PSMZA). Program ini bertujuan untuk memberikan penerangan dan penjelasan kepada pegawai JSKK PSMZA mengenai penubuhan Sekretariat Rakan Muda dan tatacara pelaksanaan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda.
Sekretariat Rakan Muda IPT adalah sebuah pertubuhan di peringkat Institut Pengajian Tinggi yang mana konsep pelaksanaan aktiviti Sekretariat Rakan Muda adalah berorientasikan 8 Gaya Hidup Rakan Muda iaitu Rakan Masyarakat, Rakan Cinta Alam, Inovasi, Rakan Kecergasan, Rakan Seni Budaya, Rakan Wira Mahir, Rakan Waja Diri dan Rakan Wira Usaha. Melalui pengaplikasian nilai-nilai positif dalam setiap gaya hidup, Sekretariat Rakan Muda IPT membantu melahirkan generasi muda yang berkemahiran, berkepimpinan, berkebajikan dan bertanggungjawab. Diharapkan segala perancangan akan berjalan dengan baik demi pembangunan belia pengajian tinggi yang berkualiti tinggi.
DUNGUN, 27 FEBRUARI 2023 – Pelbagai agensi dan jabatan termasuklah Pejabat Belia dan Sukan Daerah Dungun telah duduk semeja bagi membincangkan hal-hal berkaitan kesejahteraan rakyat di Daerah Dungun bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Kesejahteraan Rakyat Daerah Dungun yang telah dipengerusikan oleh Yang Berusaha Encik Jusman bin Ibrahim, Pegawai Daerah Dungun. Turut hadir adalah Yang Berhormat Haji Alias bin Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang. Mesyuarat ini telah berlangsung pada 21 Februari 2023 bertempat di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah Dungun.