MIRI, 10 DISEMBER 2019 - Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri yang diketuai oleh En. Roley Anak Lagir bersama Puan Stephanie Wendy Anak Stamford dan Cik Norafizahwati Binti Banting telah mengadakan lawatan muhibah ke Hospital Miri, semalam. Hadir untuk menyambut rombongan PBSB Miri ialah Dr. Jack Wong Pengarah Hospital Miri bersama Dr. Amy dan Dr. Francis.
Lawatan muhibah tersebut diadakan adalah bertujuan untuk membincangkan program yang bakal dianjurkan bersama pada tahun 2020 iaitu Hospital Run 2020 dan program NutriFit anjuran Hospital Miri untuk pesakit dan warga Hospital Miri. Sebelum ini, PBSB Miri dan Hospital Miri sering bekerjasama dalam pelbagai program yang diadakan di bawah pengelolaan Pejabat Residen Bahagian Miri.
Sesi lawatan tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh kedua-dua jabatan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang tahun 2019.
MIRI, 10 DISEMBER 2019 - Seramai 1,283 orang atlit dari 4 Zon di seluruh Sarawak telah mula berkampung di Bandaraya Miri untuk Kejohanan Sukan Sarawak II (SUKSAR) bermula pada 9 hingga 13 Disember 2019.
Zon Utara (Miri, Bintulu dan Limbang) menghantar seramai 354 orang, zon tengah (Sibu, Kapit dan Mukah) seramai 329 orang atlit, zon barat (Sarikei, Betong, Sri Aman) seramai 290 orang atlit dan zon selatan (Kuching, Serian, Kota Samarahan) seramai 310 orang atlit.
Kejohanan Sukan Sarawak II (SUKSAR) telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Stadium Bandaraya Miri, semalam.
Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, dan Menteri Muda ahli parlimen Sibuti YB Lukanisman Awang Sauni dan ahli dewan undangan negeri Lambir YB Ripin Lamat.
Acara dwi tahunan ini menyediakan 16 acara iaitu angkat berat, badminton, berbasikal, bola keranjang, bola jaring, hoki, ceramah, olahraga, petanque, ragbi, sepak takraw, silat, skuasi, tinju, bola tampar dan eSports yang bertujuan untuk mencari atlit pelapis bagi temasya Sukan Malaysia yang akan datang.
Zon Utara telah menjuarai SUKSAR I pada tahun 2017 dan menjadikan Bahagian Miri sebagai tuan rumah SUKSAR II pada tahun ini.
MIRI, 10 DISEMBER 2019 - Kajian Indeks Belia dijadikan asas penting dalam merencana pelbagai program dan aktiviti pembangunan belia di negeri ini dengan lebih tepat dan komprehensif.
Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kajian menjadi alat mengukur tahap kualiti hidup belia Sarawak dan usaha meningkatkan tahap kualiti dan kesejahteraan hidup belia dari setiap kawasan.
“Pembentukan indeks ini memberi panduan kepada semua ‘stakeholders’ termasuk warga kerja belia untuk mengenal pasti bidang tumpuan yang memerlukan penambahbaikan bagi memastikan ia memberi impak positif terhadap kualiti dan kehidupan mereka,” jelasnya.
Berucap pada perasmian Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri di sini semalam, Abdul Karim berkata kajian melibatkan 12 domain iaitu pembangunan kendiri, hubungan sosial, identiti, potensi diri, kesihatan, pendidikan, ekonomi, keselamatan, sosialisasi politik, ketembusan media, waktu senggang serta tingkah laku devian.
Majlis turut menyaksikan perasmian Buku Kajian Indeks Belia Sarawak oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, penyelidikan dapat menyediakan input dalam membangunkan Dasar Belia Negeri Sarawak serta dapat digunakan sebagai indikator bagi mengukur pencapaian Dasar Belia Malaysia.
Abdul Karim memberitahu, kajian telah dirancang dan dilaksanakan oleh kementerian beliau pada Ogos tahun lalu dan siap pada bulan Mei tahun ini.
Kajian dijalankan bersama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia atau nama singkatannya IYRES.
Inisiatif ini melibatkan proses pengumpulan data dan soal selidik yang dijalankan oleh seramai 517 enumerator dan 13,870 responden yang terdiri dari kalangan golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun yang meliputi 12 bahagian dan 31 daerah di seluruh Sarawak.
Tentang sambutan Hari Belia, Abdul Karim berkata, ia bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan para belia dalam agenda pembangunan negeri dan juga bertujuan untuk mendekatkan golongan belia dengan pucuk pimpinan negeri ini.
Acara tahunan ini turut memberi ruang dan peluang kepada mereka mengetengahkan kreativiti dan bakat dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, kesenian, kesukarelawanan, semangat patriotik dan sebagainya.
MIRI, 10 DISEMBER 2019 - Seramai 5,000 orang belia dari seluruh Sarawak telah menghadiri sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2019 pada 7 Disember.
Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2019 telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Stadium Bandaraya Miri.
Belia-belia yang berumur 15 hingga 40 tahun dari seluruh Sarawak dan terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awan (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), pertubuhan-pertubuhan belia, pekerja sektor awam dan swasta, dan orang awam telah memenuhi Stadium Bandaraya Miri seawal jam 7.00 pagi.
Bertemakan ‘Belia Cergas Pemangkin Pembangunan Negara’, sambutan diisi dengan Belia Showcase, Belia Got Talent, Belia Sihat Dan Cergas, Belia Kitchen, Autoshow dan pameran Kreatif Dan Inovasi oleh Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut menyampaikan anugerah belia negeri Sarawak 2019 kepada Gary Ningkan dan Dayang Nur Maissarah Abang Abdul Razak. Persatuan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) muncul johan bagi kategori persatuan belia manakala naib johan ialah Unit Saberkas Kampung Demak Baru (KADEBA).
Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Perlancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr. Penguang Manggil serta ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri tempatan.
MIRI, 09 DISEMBER 2019 – Kontinjen Zon Selatan yang terdiri dari Bahagian Samarahan, Bahagian Kuching dan Bahagian Serian telah meraih 1 pingat Emas dan 1 pingat Perak dalam acara berbasikal semasa pembukaan tirai Sukan Sarawak II Miri 2019.
Pingat Emas tersebut telah dimenangi oleh Muhammad Luqman Daniel bin Mohammad Roji bagi acara berbasikal 40 km Uiian Masa Perseorangan bertempat di Marina Bay, Bandaraya Miri/MTB-Taman Awam Miri. Luqman telah mencatat masa terpantas 56 minit 20 saat dalam acara tersebut. Manakala Raya bin Othman pula meraih pingat Perak dalam acara yang sama dengan mencatat masa terpantas 59 minit 03 saat.
Dalam pada itu, Majlis Pembukaan Sukan Sarawak II Miri 2019 telah disempurnakan oleh YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak pada 09 Disember 2019 bertempat di Stadium Tertutup Miri.
Terdahulu, kontinjen Zon Selatan– Bahagian Samarahan yang diketuai oleh Encik Louis Andria telah menghantar atlet bagi menyertai 7 acara sukan daripada 16 acara sukan yang akan dipertandingkan iaitu Badminton, Bola Tampar, Memanah, Silat Olahraga, Petanque, Olahraga dan Sepak Takraw. Manakala bagi Zon Selatan – Bahagian Kuching dan Bahagian Serian juga akan menghantar kontingen bagi 9 lagi acara sukan seperti Angkat Berat, Renang Akuatik, Berbasikal, Bola Keranjang, Menanah, Ragbi, Tinju, eSport dan Hoki. Seramai 310 atlet dari Zon Selatan akan berentap dalam SUKSAR kali ini.
SUKSAR Edisi ke -2 melibatkan lebih 1,283 orang altet dari empat zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Barat dan Zon Selatan serta pegawai yang akan berkampung di Miri, Sarawak bermula pada 09 hingga 14 Disember 2019. SUKSAR Edisi Pertama telah diadakan pada 14 hingga 17 Disember 2017 di Kuching, Sarawak. SUKSAR anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Majlis Sukan Negeri Sarawak dan Sarawak Sports Corporation.
SARIKEI, 10 DISEMBER 2019 – Wakil kepada Kelab Belia Pekan Pakan telah hadir bagi penerimaan sijil kelab , sesi penjelasan proses tadbir urus bagi kelab yang baharu, serta penghantaran MYKD pada setiap tahun. Penyerahan sijil telah disempurnakan oleh Pegawai Unit Pembangunan Belia, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei Encik Mohammad Arbi bin Rosli.
Pemahaman berkaitan perlembagaan kelab dan menasihati kelab mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Belia dan Sukan supaya ada hubungan yang baik dan memudahkan pihak pejabat menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan program belia.
Semoga penubuhan kelab belia yang baharu ini dapat membantu golongan belia terutama di Daerah Pakan bergiat aktif dalam aktiviti NGO’s. Mereka juga berazam untuk menjadikan pertubuhan mereka pertubuhan yang disegani masyarakat setempat.
KOTA SAMARAHAN, 09 DISEMBER 2019 – Kontingen Persatuan Tang Soo Do Bahagian Samarahan telah meraih 5 pingat Emas, 7 pingat Perak, 4 pingat Gangsa dan 1 Dagger Grand Champion dalam Kejohanan Tang Soo Do Kebangsaan Kali ke – 26 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bahru, Pengkalan Chepa, Kota Bahru, Kelantan pada 07 hingga 08 Disember 2019 baru-baru ini.
Kejayaan tersebut sekali gus telah mengharumkan nama Sarawak dalam kejohanan berprestij itu. Kejayaan tersebut juga pernah dikecapi oleh Sarawak apabila menjadi juara keseluruhan pada Kejohanan Tang Soo Do Kebangsaan Kali ke – 25 yang telah berlangsung di Kuching pada tahun lepas.
Terdahulu, seramai 14 orang atlet termasuk 2 pegawai dari Persatuan Tang Soo Do Bahagian Samarahan telah menyertai kejohanan tersebut. Kontingen Tang So Do Bahagian Samarahan yang diketuai oleh Master Kiu Chiong Inn dan dibantu oleh Roger Tsin telah menyertai 5 kategori pertandingan di kejohanan tersebut.
Tahniah diucapkan kepada Persatuan Tang Soo Do Bahagian Samarahan diatas kejayaan tersebut.
KOTA SAMARAHAN, 03 DISEMBER 2019 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah menerima jemputan ke Program Arts on Wheel@Samarahan dan Manifestasi Gendang Melayu Sarawak bertempat di Dewan Suarah Kota Samarahan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak dengan kerjasama Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching.
Program yang telah bermula seawal jam 4.00 petang telah menyajikan pelbagai aktiviti termasuklah Pertandingan Nanyian, Demontrasi Permainan Tradisional, Pameran dan Jualan Produk Seni Budaya.
Dalam pada itu, acara kemuncak adalah Persembahan Manifestasi Gendang Melayu Sarawak antara Malaysia dan Brunei telah berlangsung pada sebelah malam. Turut mengisi acara sebelah malam juga adalah persembahan daripada artis undangan iaitu Dwan Olan dan Yazid Sejati.
Turut hadir dalam program tersebut adalah pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan negeri dan persekutuan termasuk En. Muhammad Naim bin Abdul Nasir, Penolong Pegawai Belia dan Sukan dan Puan Noeliati binti Li, Pembantu Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan
KOTA SAMARAHAN, 06 DISEMBER 2019 – Seramai 14 orang atlet termasuk 2 pegawai dari Persatuan Tang Soo Do Bahagian Samarahan telah berlepas untuk menyertai Kejohanan Tang Soo Do ke-26 yang akan berlangsung pada 07 dan 08 Disember 2019 di Kota Bahru, Kelantan.
Kontingen Tang So Do Bahagian Samarahan yang diketuai oleh Master Kiu Chiong Inn dan dibantu oleh Roger Tsin akan menyertai 5 kategori pertandingan di kejohanan pada kali ini.
Persatuan ini juga sekaligus mewakili negeri Sarawak ke Kejohanan Tang Soo Do ke 26.
Semoga atlet akan menunjukkan prestasi yang terbaik dan akan membawa pulang kejayaan.