SIBU, 2 September 2025 : Seramai tiga orang pegawai dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei iaitu Encik Mohd Johari Abdullah, Puan Jamaika binti Marciano dan Haji Abdul Rani bin Jemi telah menghadiri Bengkel Bimbingan dan Pembangunan Portfolio SKM-PPT Tahap 3 Negeri Sarawak Siri 6 Tahun 2025 yang telah diadakan pada 2-4 September 2025 di Sibu.
Program ini adalah anjuran APBM Port Dickson dan dihadiri oleh Pegawai-pegawai dari JBSN Sarawak, IKBN Miri dan beberapa orang pegawai dari Menara KBS, Putrajaya.
Semoga semua peserta berjaya dalam SKM 3 : Pelaksanaan Kerja Belia.
BETONG, 10 September 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Bahagian Betong Tahun 2025 telah berjaya dilaksanakan pada 10 September 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Saratok. Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelaras gerak kerja serta penglibatan pelbagai agensi dalam penganjuran program yang akan berlangsung pada 18 Oktober 2025 (Sabtu) di Dewan Sri Kalaka, Saratok.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Muhammad Dino bin Amid, Pegawai Daerah Saratok yang mengetuai perbincangan mengenai perancangan logistik, pengisian program, keselamatan, promosi, protokal dan sambutan serta kerjasama rentas agensi bagi memastikan kejayaan penganjuran HSN Peringkat Bahagian Betong tahun ini.
Cik Nurulzamzam binti Haji Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong turut membentangkan penerangan terperinci mengenai program serta objektif pelaksanaan HSN. Beliau turut memohon kerjasama semua ahli jawatankuasa untuk membantu menyebarluaskan maklumat program kepada komuniti setempat.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil pelbagai jabatan, agensi, persatuan dan kelab yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program merangkumi aspek logistik, keselamatan, perubatan, promosi serta penglibatan masyarakat setempat.
Adalah menjadi harapan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong agar segala perancangan yang telah dibincangkan dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya seterusnya memastikan sambutan Hari Sukan Negara 2025 peringkat bahagian ini mencapai objektif serta memberi impak positif kepada masyarakat.
BETONG, 13 September 2025 - Program Malaysia Aktif Peringkat Bahagian Betong Siri 9 telah berjaya dilaksanakan pada 12 September 2025 bertempat di perkarangan Wisma Persekutuan Saratok.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan Indai Tai Saratok.
Kehadiran peserta yang menggalakkan mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap penganjuran program tersebut. Turut hadir memeriahkan program ialah Cik Nurulzamzam bt. Hj. Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong serta Cik Azira binti A.Manan, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong.
BETONG, 10 SEPTEMBER 2025 - Penyerahan sijil pendaftaran Kelab Belia Perkasa Layar telah disampaikan oleh Cik Nurulzamzam bt. Hj. Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong kepada Saudari Ninie Racha anak Anding, Pengerusi Kelab Belia Perkasa Layar pada 9 September 2025 bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Pihak pejabat berharap agar kelab ini akan sentiasa bergerak aktif dalam melaksanakan program-program pada masa akan datang dan menjadi pemangkin untuk kelab belia lain untuk mendaftar dan bergerak aktif.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Sarawak yang sentiasa membantu dan melancarkan penubuhan Kelab Belia khususnya di Betong. Hadir sama semasa penyerahan sijil pendaftaran kelab ialah Saudara Clement Lasu ak Jhon, Setiausaha Kelab Belia Perkasa Layar.
BETONG, 9 September 2025 – Kelab Bola Sepak Kasukan Berjaya menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Kuih Cino Kpg Tuie 2025 dengan penuh kemeriahan dan semangat kesukanan di Dewan Sukan Baru Kpg Tuie pada 6 dan 7 September 2025. Kejohanan ini menyaksikan penyertaan sebanyak 28 pasukan dari sekitar Saribas dan kawasan berdekatan sekaligus membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti setempat.
Pelaksanaan pertandingan ini telah disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di bawah Dana Sukan Komuniti (DSK).
Keputusan akhir pertandingan adalah seperti berikut :
Johan : RS Defender
Naib johan : Odyssey's
Ketiga bersama : Ajeng FC dan Kelab Aktif Sukan Kpg Tuie
Majlis simbolik serta perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Dr Richard Rapu @ Aman ak Begri, Ahli Parlimen P204 Betong. Turut hadir pada majlis perasmian ialah Cik Nurulzamzam binti Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong
Pihak pejabat mengucapkan Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan penganjuran program ini dengan lancar dan teratur.
BETONG, 2 September 2025 - Program Malaysia Aktif Peringkat Bahagian Betong Siri 8 telah berjaya dilaksanakan pada 29 Ogos 2025 bertempat di Wisma Persekutuan Saratok.
Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan Indai Tai Saratok.
Seramai 40 orang peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat telah hadir bagi memeriahkan program ini. Kehadiran peserta yang menggalakkan mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap penganjuran program tersebut. Turut hadir memeriahkan program ialah Cik Azira binti A.Manan, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong.
SIBU, 13 September 2025 – Program Sarawak X-Tive 2025 Peringkat Bahagian Sibu telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Sibu pagi ini, bermula seawal jam 6.30 pagi. Program ini merupakan inisiatif Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) yang dijalankan serentak di seluruh negeri Sarawak. Majlis perasmian program bagi peringkat Bahagian Sibu telah disempurnakan oleh YBhg. Haji Abang Mohd Porkan bin Haji Abang Budiman, Residen Bahagian Sibu. Turut hadir memeriahkan acara ialah wakil Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu, Encik Muhammad Afif bin Ibrahim, bersama-sama tetamu kehormat dan warga tempatan yang turut serta dalam pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun sepanjang program.
Acara dimulakan dengan ketibaan jemputan pada jam 6.30 pagi diikuti oleh ketibaan Residen Bahagian Sibu dan tetamu kehormat pada jam 6.50 pagi. Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan "Negaraku" dan "Ibu Pertiwi", bacaan doa serta ucapan perasmian oleh tetamu kehormat. Kemuncak majlis menyaksikan gimik perasmian dan pelepasan peserta bagi acara "I Love Malaysia Run". Seterusnya, para tetamu dibawa melawat ke tapak pameran dan jualan Sarawak X-Tive sebelum menikmati jamuan di khemah VIP.
Program Sarawak X-Tive bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat sambil memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat di acara ini membuktikan sambutan positif terhadap usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan komuniti melalui program sukan dan rekreasi. #PBSBSibu #JBSNBersama #TeamKBS #kekalaktifwargasibu
MIRI, 12 SEPTEMBER 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri dengan kerjasama Kelab Taiji Qigong Taman Bulatan akan melaksana 10 siri program Senaman Warga Emas Aktif Peringkat Bahagian Miri 2025 sepanjang bulan September hingga Oktober 2025 di Taman Bulatan, Miri.
Satu sesi perbincangan bersama pihak Kelab Taiji Qigong Taman Bulatan telah diadakan pada 10 September 2025 di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri bagi menetapkan jenis senaman dan tarikh pelaksanaan program tersebut. Program ini merupakan platform bagi golongan warga emas melibatkan diri dalam aktiviti senaman untuk semua di samping menggalakkan masyarakat untuk turut bersukan bersama warga emas secara inklusif.
Persiapan Summer Camp Rakan Muda Peringkat Zon Disediakan oleh: MAS, JBSN Sarawak
KUCHING, 12 September 2025 – PBSB Kuching telah mengadakan perbincangan awal untuk pelaksanaan Summer Camp Rakan Muda Peringkat Zon yang akan diadakan di Libiki Resort, Bau pada 19 hingga 21 September 2025. Program ini berbentuk perkhemahan yang melibatkan peserta dari Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong. Pengisian program meliputi aspek latihan kepimpinan, aktiviti kerjasama berpasukan, sukan, kesenian, explorasi alam sekitar, dan aktiviti membina sahsiah.