
- JBS Sarawak
- Hits: 2
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM SARAWAK X-TIVE 2025 MERIAH DI SIBU
- JBS Sarawak
- Hits: 2
Disediakan oleh: Afif, JBSN Sarawak
SIBU, 13 September 2025 – Program Sarawak X-Tive 2025 Peringkat Bahagian Sibu telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Sibu pagi ini, bermula seawal jam 6.30 pagi. Program ini merupakan inisiatif Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) yang dijalankan serentak di seluruh negeri Sarawak.
Majlis perasmian program bagi peringkat Bahagian Sibu telah disempurnakan oleh YBhg. Haji Abang Mohd Porkan bin Haji Abang Budiman, Residen Bahagian Sibu. Turut hadir memeriahkan acara ialah wakil Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu, Encik Muhammad Afif bin Ibrahim, bersama-sama tetamu kehormat dan warga tempatan yang turut serta dalam pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun sepanjang program.
Acara dimulakan dengan ketibaan jemputan pada jam 6.30 pagi diikuti oleh ketibaan Residen Bahagian Sibu dan tetamu kehormat pada jam 6.50 pagi. Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan "Negaraku" dan "Ibu Pertiwi", bacaan doa serta ucapan perasmian oleh tetamu kehormat.
Kemuncak majlis menyaksikan gimik perasmian dan pelepasan peserta bagi acara "I Love Malaysia Run". Seterusnya, para tetamu dibawa melawat ke tapak pameran dan jualan Sarawak X-Tive sebelum menikmati jamuan di khemah VIP.
Program Sarawak X-Tive bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat sambil memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat di acara ini membuktikan sambutan positif terhadap usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan komuniti melalui program sukan dan rekreasi.
#PBSBSibu
#JBSNBersama
#TeamKBS
#kekalaktifwargasibu