Felda Chuping, 27 Ogos 2022 - Program Derma Darah @ KBS Siri III telah diadakan pada hari ini sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis bertempat di Dewan JKKR, Felda Chuping, Perlis. Program ini adalah anjuran Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Perlis bersama Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah Kangar mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang hadir terutama penduduk Felda Chuping. Sebanyak 45 beg darah berjaya dikumpul dalam program kali ini.
Siri Ketiga Jom Derma Darah @ KBS ini adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan bekalan darah di hospital di samping meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan dalam membantu menyelamatkan nyawa orang lain.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua penderma darah yang hadir pada program kali ini.
DISEDIAKAN OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTADBIR PORTAL)
Felda Chuping, 27 Ogos 2022 - Telah berlangsung dengan jayanya Program Aktif @ Sukan Luar Bandar bersempena dengan Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis bertempat di Sekolah Kebangsaan L.K.T.P Chuping bagi Sukan Bola Jaring dan Padang Awam Felda Chuping bagi Sukan Bola Sepak. Pertandingan ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Felda Chuping. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang. Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Encik Mohd Nizam bin Mat Daud, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis.
DISEDIAKAN OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTADBIR PORTAL)
Felda Chuping, 27 Ogos 2022 - HBN Chuping Ride 40.1 KM telah diadakan dengan jayanya bersempena dengan Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis pada pagi ini bagi merancakkan lagi majlis sambutan HBN pada tahun ini. Jarak kayuhan ini diambil bersempena dengan titik terpanas di Chuping iaitu 40.1 darjah celcius memberi cabaran kepada para peserta berkayuh dalam cuaca panas namun tetap tidak mematahkan semangat para pengayuh tegar untuk menghabiskan kayuhan. Syabas dan tahniah diucapkan. Program kayuhan ini dikendalikan oleh MEPS Venture Sdn. Bhd dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Arau dan Padang Besar bagi kawalan keselamatan serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis bagi bantuan medik. Pihak jabatan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program kayuhan ini.
DISEDIAKAN OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTADBIR PORTAL)
Felda Chuping, 27 Ogos 2022 - Program Let's Get Fit Siri Lima turut tidak ketinggalan diadakan bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis yang diadakan di Pentas Utama, Hari Belia Negara ini. Program yang dikendalikan oleh Kelab Sukan Kecergasan Aura ini telah menghimpunkan seramai 5o orang peserta peminat sukan kecergasan yang selalu hadir menyokong aktiviti sihat ini. Let's Get Fit Siri akhir ini diadakan bagi mengaktifkan gaya hidup sihat selain menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat. Semoga berjumpa lagi.
DISEDIAKAN OLEH :PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTADBIR PORTAL)
Felda Chuping, 27 Ogos 2022 - Perkhemahan Solferino Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Perlis telah menghimpunkan seramai 250 orang peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Perlis. Program ini diadakan selama dua hari bertempat di Sekolah Renda Islam III, Felda Chuping, Perlis. Encik Mohd Nizam bin Mat Daud, Pengarah JBSNPs berkesempatan mengadakan lawatan ke program perkhemahan tersebut. Program yang diadakan sempena Hari Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis ini memberi pengalaman kepada para pelajar tentang aktiviti outdoor dan memupuk sikap berdikari di kalangan para pelajar. Para peserta juga turut hadir ke Perkarangan Dewan Besar Felda Chuping untuk turut memeriahkan sambutan Hari Belia Negara 2022 ini. Perkhemahan ini telah dikendalikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Perlis. Syabas dan tahniah diucapkan atas penglibatan dalam menjayakan program ini.
DISEDIAKAN OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTADBIR PORTAL)
26 Ogos 2022 - Telah berlangsung dengan jaya Kuliah Belia sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis bertempat di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping. Kuliah yang bertajuk "Belia Pemangkin Pembangunan Ummah" telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fitri bin Mohamad selepas Solat Maghrib berjemaah. Turut hadir, Encik Mohd Nizam bin Mat Daud, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis, Encik Mohd Hanaffi bin A. Rahman, Penolong Pengarah Belia dan Saudara Encik Izan Asmawi bin Habidan, Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Perlis. Semoga tazkirah yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada semua khasnya para belia.
DISEDIAKAN OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTADBIR PORTAL)
Wan Mohd Zaki muncul juara Kejohanan Golf 1000 Liga (Siri 1) bagi negeri Perlis yang diadakan di Kelab Golf Putra Perlis hari ini.
Beliau menamatkan kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah RM3,500.00 dengan mata 38 OCP. 55 orang yang menyertai kejohanan tersebut rata-rata terdiri daripada penjawat awam, pesara kerajaan dan dari syarikat swasta.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh EXCO Belia dan Sukan Negeri Perlis merangkap Naib Presiden II Kelab Golf Putra Perlis, YB Tuan Hamizan Hassan.
DISEDIAKAN OLEH : ENCIK FAUZI BIN ABDULLAH SALEH (BAHAGIAN PEMBANGUNAN SUKAN)
DISUNTING OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTABDIR PORTAL)
Kangar, 21 Ogos 2022 - Satu bahagian penting dalam mana-mana persatuan atau tampuk pimpinan yang berjaya adalah sebuah organisasi. Sama ada ia adalah organisasi dalam persatuan atau kepimpinan pelajar, kursus pengurusan organisasi menjadi satu titik tolak dalam mengembangkan potensi seseorang dalam menerajui organisasi tersebut.
Bagi memastikan golongan belia terutamanya belia berpersatuan agar dapat terus melahirkan pelapis pemimpin pertubuhan masa depan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis telah menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi Peringkat Negeri Perlis 2022 dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Cawangan Negeri Perlis selama 3 hari 2 pada 19 hingga 21 Ogos 2022 bertempat di Pusat Kokurikulum Kem Timah Tasoh, Perlis.
Kursus ini telah melibatkan penyertaan daripada persatuan belia Perlis dan kepimpinan tertinggi Institusi-institusi Pengajian Tinggi Perlis.
Objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan, pengetahuan dan membimbing peserta dalam mengenal urus tadbir pertubuhan belia. Selain itu, dapat meningkatkan keyakinan golongan belia untuk menyertai persatuan dan menjadi pelapis kepimpinan persatuan belia sedia ada.
Terdapat 5 modul utama yang telah dipelajari oleh peserta iaitu modul Penulisan & Dokumentasi, Pelaporan dan Penilaian Program, Pengurusan Kewangan, Simulasi Mesyuarat dan Maklumat Yang Kena Diberi (MyKD). Selain itu, terdapat juga aktiviti- aktiviti lain diadakan seperti desi "ice breaking", "challenge yourself" - “wall climbing" dan berbasikal bagi memantapkan ketahanan fizikal dan mental serta emosi setiap peserta kursus ini.
Semoga dengan adanya kursus seperti ini, ia akan dapat melatih dan melahirkan golongan belia yang komited dan berani ke hadapan dalam menjadi pemimpin demi agama, bangsa dan negara!
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Encik Mohd Hanaffi bin A. Rahman, Penolong Pengarah Belia, JBSNPs. Turut hadir Encik Noorizal bin Zakaria, Setiausaha Majlis Belia Negeri Perlis.
DISEDIAKAN OLEH : CIK NURHIDAYU NATASYA BINTI MOHD ZULKRNIN (BAHAGIAN PEMBANGUNAN BELIA)
DISUNTING OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTABDIR PORTAL)
21 Ogos 2022 – Program Let’s Get Fitri 4 ( Senamrobik ) sempena Hari Kebangsaan ke 65 telah diadakan dengan jayanya bertempat di Dewan Besar, Jabatan Belia dan Sukan negeri Perlis. Seramai 50 orang peserta telah menyertai program ini yang juga merupakan program di bawah Unit Kecergasan Nasional, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan negeri Perlis.
Antara objektif pelaksanaan adalah menyokong matlamat Agenda Nasional Sihat Malaysia (ANSM) dalam menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.
Pihak jabatan merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Kelab Sukan Kecergasan Aura dan semua KBSi negeri Perlis kerana telah sama-sama menjayakan program ini dengan penuh semangat kecergasaan.
DISEDIAKAN OLEH : PUAN SURINA BINTI RAMLI (BAHAGIAN PEMBANGUNAN SUKAN)
DISUNTING OLEH : PUAN WAN NOURIEDAH BINTI MEGAT GHAZALI (PENTABDIR PORTAL)