LIKAS, 6 Ogos - PEKAN FC telah dinobatkan sebagai naib juara Liga Suparimau Sabah 2022 Musim B yang bermula 18 Jun lepas dan berakhir hari ini di Padang Sintetik Kompleks Sukan Kota Kinabalu.
Jabatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemain, pihak pengurusan, jurulatih serta ibu-bapa pemain Pekan FC yang mengharumkan nama WP Labuan dalam arena bola sepak. Semoga Pekan FC akan terus menyinar dan melahirkan pemain-pemain yang akan mengharumkan nama Labuan dan Malaysia.
Untuk rekod, Pekan FC telah mengharungi 7 perlawanan dengan 4 kemenangan, 3 kali seri dan tidak mencatatkan kekalahan sepanjang liga berlangsung.
Turut hadir memberikan sokongan kepada Pekan FC adalah Encik Abang Syamsulzainuri bin Abang Sapini, Pengurus Kompleks Sukan Labuan.
LABUAN, 2 Ogos - Siri perlawanan persahabatan bola sepak pasukan All-Star JBSWPL diteruskan minggu ini dengan melayan kunjungan pasukan Jabatan Kesihatan WP Labuan bertempat di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan malam tadi.
Jabatan Kesihatan W.P Labuan adalah di antara agensi setempat dan rakan strategik yang banyak membantu Jabatan dalam pelaksanaan program Belia, Sukan dan Rakan Muda.
Jabatan Kesihatan WP Labuan mendahului seawal minit permainan melalui percubaan jarak jauh pemain penyerang dan kedua-dua pasukan saling mengasak berbalas serangan. Perlawanan semalam berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan All-Star JBSWPL dengan jaringan 8 berbalas 1.
Turut hadir memberi sokongan pada perlawanan semalam adalah Encik Abang Syamsulzainuri bin Abang Sapini, Pengurus Kompleks Sukan Labuan.
LABUAN, 30 Julai - Seramai 10 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan diketuai Pengarah telah turut serta dalam program Berjalan Teguh Bersama sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bertempat di Wisma Perbadanan Labuan.
Program Berjalan Teguh Bersama yang disertai lebih daripada 300 penyertaan daripada pelbagai agensi diketuai oleh YB Senator Datuk Bashir bin Haji Alias, Pengerusi Perbadanan Labuan bersama ketua-ketua Jabatan mengelilingi pusat bandar Labuan sejauh 2.5 km untuk menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemilik-pemilik premis perniagaan.
Terima kasih kepada Jabatan Penerangan WP Labuan atas jemputan dan setinggi-tinggi tahniah di atas penganjuran program ini.
LABUAN, 29 Julai - Satu perlawanan persahabatan bola sepak pasukan veteran pilihan Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan/ Labuan Football Association - LAFA menentang pasukan Merapok Veteran FC (MEVEC FC) dari Sarawak telah berlangsung semalam di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan.
Perlawanan ini diadakan bagi meraikan pasukan MEVEC FC yang mengadakan jelajah perlawanan ke WP Labuan di samping mengeratkan silaturahim di antara pemain. Keputusan perlawanan memihak kepada tuan tumah dengan jaringan 3 berbalas 1.
Turut hadir dalam perlawanan semalam adalah Encik Mohammad Syahffiee bin Haji Japril, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan, Encik Sophian bin Said, Presiden LAFA dan Encik Erwin Kinsui, Pegawai APM W.P Labuan.
LABUAN, 19 Julai - Siri perlawanan persahabatan bola sepak pasukan All-Star JBSWPL diteruskan minggu ini dengan melayan kunjungan pasukan Jabatan Laut Malaysia W.P Labuan bertempat di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan malam tadi.
Jabatan Laut Malaysia W.P Labuan adalah di antara agensi setempat dan rakan strategik yang banyak membantu Jabatan dalam pelaksanaan program Belia, Sukan dan Rakan Muda.
Perlawanan semalam berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan All-Star JBSWPL dengan jaringan 7 berbalas 1.
Turut hadir memberi sokongan pada perlawanan semalam adalah Encik Abang Syamsulzainuri bin Abang Sapini, Pengurus Kompleks Sukan Labuan.
WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN, 13 Julai 2022 - Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat W.P. Labuan Sidang II Penggal Ke-33 Sesi 2021-2022 (MPBN) telah berlangsung di Grand Ballroom, Lazenda Hotel, W.P. Labuan
Persidangan ini merupakan platform terbaik kepada para belia dalam menyampaikan pandangan melalui pembentangan usul berkaitan wacana Pembangunan Belia di Wilayah Persekutuan Labuan ini.
Persidangan dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Dr. Hj. Suhaili bin Abdul Rahman. Turut hadir En. Helmi bin Bali mewakili Perbadanan Labuan, Pegawai Kanan Jabatan Belia dan Sukan Negara, Cik Dayangku Rahimah binti PG. Hassan bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan, En. Mohammad Syahffie Bin Hj. Japril dan Presiden Majlis Belia Labuan En. Abdul Mutalib Sahari.
Persidangan kali ini,dibentangkan dengan kertas kerja yang bertajuk "Peluang Keusahawanan Dalam Bidang Pertanian" yang telah disampaikan oleh En. Rody bin Sibawon daripada Jabatan Pertanian W.P. Labuan
Sebanyak enam usul yang diangkat daripada para pemimpin Belia Wilayah Persekutuan Labuan, demi tujuan mencapai solusi terbaik bersama dengan agensi kerajaan bagi pembangunan belia khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.
Semoga dengan Persidangan kali ini, isu isu Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan Labuan dapat diangkat ke Peringkat lebih tinggi, seterusnya berjaya dilaksanakan sepertimana diharapkan oleh peringkat akar umbi.
LABUAN, 13 Julai - Siri perlawanan persahabatan bolasepak pasukan All-Star JBSWPL diteruskan malam tadi menentang pasukan PETRONAS Chemicals FC di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan.
All-Star JBSWPL menerima tentangan sengit daripada PETCHEM FC sepanjang tempoh perlawanan sebelum menang dengan jaringan 4 berbalas 2.
Turut hadir memberikan sokongan dalam perlawanan tersebut adalah Encik Abang Syamsulzainuri bin Abang Sapini, Pengurus Kompleks Sukan Labuan.
LABUAN, 6 Julai - Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan dengan kerjasama pihak Media telah menerima kunjungan pasukan Pilihan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia WP Labuan malam tadi bertempat di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan.
Objektif perlawanan persahabatan ini bukan sahaja untuk merapatkan hubungan antara agensi malah dapat bertukar pendapat bersama para media tentang isu-isu semasa.
Turut beraksi dalam perlawanan semalam adalah, Encik Mohammad Syahffie bin Haji Japril, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan yang turut menjaringkan 2 gol dalam perlawanan tersebut.