BETONG, 27 Ogos 2025 - Program Malaysia Aktif Peringkat Bahagian Betong Siri 7 telah berjaya dilaksanakan pada 23 Ogos 2025 bertempat di Riveria Sport Centre Debak. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan Indai Tai Saratok.
Seramai 60 orang peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat telah hadir bagi memeriahkan program ini. Kehadiran peserta yang menggalakkan mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap penganjuran program tersebut. Turut hadir memeriahkan program ialah Cik Nurulzamzam binti Hj Shafi'ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Betong, 27 Ogos 2025 – Satu sesi perbincangan bagi pelaksanaan Program Sukan Komuniti Pribumi Sarawak Peringkat Bahagian Betong Tahun 2025 telah diadakan pada 25 Ogos 2025 bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong.
Dalam perbincangan ini, Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong telah memberikan penerangan terperinci mengenai program yang akan dijalankan. Program ini merupakan inisiatif di peringkat akar umbi yang bertujuan untuk meningkatkan penglibatan komuniti pribumi Sarawak dalam aktiviti sukan, di samping memupuk amalan gaya hidup sihat, cergas dan aktif dalam kalangan masyarakat setempat.
Antara cadangan utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan program yang dijadualkan berlangsung pada 12 Oktober 2025 di Gelanggang RTC Layar, Betong. Penyertaan dibuka kepada komuniti pribumi daripada pelbagai peringkat umur dan jantina.
Cadangan pengisian program seperti sukan tradisional, sukaneka dan senamrobik yang dijangka mampu menarik penyertaan meluas dan menggalakkan interaksi sihat dalam kalangan komuniti setempat. Hadir bersama semasa perbincangan tersebut ialah Encik Hilster Ramba anak Dundan, selaku wakil daripada Layar Hills Sepak Takraw Club dan SABERKAS Layar yang akan bertindak sebagai rakan strategik program tersebut.
SAMARAHAN, 23 Ogos 2025 (Sabtu) – Program Kem Belia@Rakan Prihatin 2025 Peringkat Bahagian Samarahan yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos 2025 di UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2, turut menyelitkan elemen khidmat masyarakat melalui aktiviti gotong-royong membersihkan Masjid Darul Ulum Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.
Aktiviti ini telah disertai oleh para peserta kem dengan penuh semangat, sekali gus memberi peluang kepada golongan belia untuk menyumbang bakti kepada komuniti setempat. Inisiatif ini bertujuan memupuk nilai murni seperti keprihatinan, tanggungjawab sosial, dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan remaja.
Ahli Jawatankuasa Masjid Darul Ulum Taman Desa Ilmu menyambut baik penganjuran aktiviti ini dan merakamkan penghargaan atas usaha para peserta yang turut membantu membersihkan ruang solat dan kawasan sekitar masjid.
Turut hadir dalam program gotong-royong tersebut ialah Encik Mohd Uzaini bin Mohamad Sani, Pengarah Cawangan Pembangunan Sosial, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN). Kehadiran beliau memberi galakan moral kepada peserta serta menunjukkan sokongan terhadap pembangunan sahsiah dan keterlibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.
Aktiviti seperti ini dilihat mampu menyemai nilai integriti, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan belia – selari dengan aspirasi pembangunan belia negara secara holistik.
SAMARAHAN, 23 Ogos 2025 (Sabtu) – Program Malaysia Aktif@Komuniti Peringkat Bahagian Samarahan Siri Ke-10 telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Pelajar UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2. Program yang bermatlamat memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti ini berjaya menarik penyertaan seramai 80 orang, melibatkan pelbagai lapisan usia termasuk pelajar sekolah.
Sesi kali ini diketuai oleh tenaga jurulatih dari Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan yang telah memberikan tunjuk ajar dalam aktiviti senamrobik dan kecergasan fizikal.
Turut serta dalam program ini ialah pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah menengah sekitar Bahagian Samarahan, iaitu SMK Kota Samarahan, SMK Muara Tuang dan SMK Hajjah Laila Taib, Asajaya. Kehadiran pelajar-pelajar ini telah menambahkan keceriaan dan semangat dalam sesi aktiviti komuniti yang berlangsung.
Para peserta kelihatan sangat bersemangat dan terhibur sepanjang sesi berlangsung. Ramai yang menyatakan keterujaan mereka kerana dapat menyertai aktiviti bermanfaat sebegini yang bukan sahaja menyihatkan badan, malah mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Program ini merupakan salah satu inisiatif berterusan dalam usaha menyemarakkan semangat kesukarelawanan, gaya hidup aktif dan sihat serta memperkukuh jaringan komuniti sihat dan prihatin, selari dengan aspirasi pembangunan masyarakat yang progresif.
SAMARAHAN, 23 Ogos 2025 – Seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam pelbagai agensi telah menyertai program Integriti Run 2025 Peringkat Negeri Sarawak yang di anjurkan oleh pejabat Residen Bahagian Samarahan yang berlangsung dengan penuh semangat dan kemeriahan di perkarangan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak.
Acara yang bertujuan menyemai nilai integriti, ketelusan dan budaya kerja beretika dalam kalangan penjawat awam ini turut menjadi medan untuk memperkukuhkan perpaduan dan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah bersama komuniti perkhidmatan awam.
Perasmian ucapara oleh Yang Berusaha Tuan Wan Mohamad Bin Wan Drahman, Pengarah Unit Intergriti dan Ombudsman Sarawak (UMIONS). Sesi pemanasan badan tersebut adalah daripada Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan dan dibantu oleh Pn. Norliati Binti Li, wakil dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Kehadiran mereka telah menyuntik semangat dan menceriakan suasana pagi larian.
Program larian ini bukan sahaja menyokong inisiatif pembudayaan integriti dalam sektor perkhidmatan awam, malah berjaya menarik penyertaan yang memberangsangkan serta mencerminkan komitmen berterusan dalam menjayakan agenda kerajaan ke arah tadbir urus yang berintegriti dan telus.
SAMARAHAN, 24 Ogos 2025 – Program Kem Belia@Rakan Prihatin 2025 peringkat Bahagian Samarahan telah berjaya dianjurkan pada 22 hingga 24 Ogos 2025 (Jumaat hingga Ahad) bertempat di UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2. Program ini menghimpunkan seramai 46 orang peserta yang terdiri daripada pelajar berumur antara 13 hingga 16 tahun dari tiga buah sekolah menengah sekitar Bahagian Samarahan.
Sekolah-sekolah yang terlibat ialah SMK Kota Samarahan, SMK Muara Tuang, dan SMK Hajjah Laila Taib, Asajaya. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Belia Samarahan sebagai rakan strategik utama.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk:
· Meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai matlamat hidup serta tanggungjawab terhadap diri, keluarga, agama, bangsa dan negara;
· Menyedarkan para belia mengenai bahaya serta kesan masalah sosial yang semakin membimbangkan;
· Melahirkan generasi belia yang berfikiran kritis, kreatif, berjiwa besar dan berbakti kepada komuniti;
· Memupuk nilai-nilai murni selaras dengan matlamat pembangunan belia positif (8C): competence, confidence, connection, character, caring, contribution, creativity dan critical thinking.
Sepanjang tiga hari penganjuran, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai slot ceramah dan aktiviti interaktif bersama penceramah jemputan dari beberapa agensi penting antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Persatuan Belia Samarahan.
Majlis Penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Encik Rais Bin Ahmad, Timbalan Residen Bahagian Samarahan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Mohd Uzaini bin Mohamad Sani, Pengarah Cawangan Pembangunan Sosial, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), serta Prof. Madya Dr. Saimi Bin Bujang, Timbalan Rektor UiTM Cawangan Sarawak.
Program ini bukan sahaja mencetus kesedaran dalam kalangan peserta mengenai isu-isu sosial semasa, malah berjaya memupuk semangat kebersamaan, kepimpinan dan kesukarelawanan yang tinggi – satu langkah penting dalam membina generasi belia Samarahan yang proaktif dan berdaya saing.
BETONG, 27 Ogos 2024 – Program Rakan Mahir: Skills For Life Parlimen 2025 Bahagian Betong telah dilaksanakan dengan jayanya pada 16 Ogos 2025 bertempat di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Debak dengan kerjasama Pejabat KEMAS Bahagian Betong. Aktiviti yang dilaksanakan ialah Kursus Asas Solekan dengan penyertaan seramai 40 orang peserta dari kawasan Parlimen P.204 Betong dan P.205 Saratok.
Program Rakan Mahir: Skills For Life Parlimen 2025 memberi peluang kepada belia berumur 15 hingga 30 tahun mempelajari latihan asas kemahiran secara jangka pendek. Para peserta telah diberi penerangan secara teori dan diberi latihan secara praktikal dengan bimbingan tenaga pengajar daripada pejabat KEMAS Bahagian Betong Puan Masturina Edora binti Sulaiman dan Puan Nur Safina binti Sajeli tenaga pengajar luar.
Hadir sama semasa program Encik Jefry anak Lana, Pegawai KEMAS Bahagian Betong dan Cik Nurulzamzam binti Hj. Shafi’ie Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Cik Jojo Tehan dan Puan Norhayati binti Abdul Gafar. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong mengucapkan jutaan terima kasih kepada,Pejabat KEMAS Bahagian Betong, urus setia, peserta serta semua yang terlibat dalam menjayakan program Skills For Life Parlimen 2025 Bahagian Betong.
SAMARAHAN, 9 Ogos 2025 – Program Malaysia Aktif @ Komuniti 2025 Peringkat Bahagian Samarahan diteruskan dengan siri ke-9 yang berlangsung dengan penuh semangat di kolam renang Kota Samarahan pada Sabtu lalu.
Salah satu tarikan utama dalam sesi kali ini ialah aktiviti Aquarobic, yang telah mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta pelbagai lapisan umur. Aktiviti kecergasan air ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi manfaat kesihatan yang signifikan, terutamanya dalam meningkatkan stamina dan fleksibiliti.
Sesi ini dikendalikan oleh dua tenaga pengajar berpengalaman iaitu KBSI En. Sukiman Bin Adenan dan KBSI Pn. Kamalia Anum Binti Zainal, yang berjaya membimbing peserta dengan teknik senaman air yang selamat dan berkesan.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dengan kerjasama pelbagai agensi tempatan, bagi menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan komuniti dan menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat.
Penganjuran sesi ke-9 ini terus membuktikan komitmen penganjur dalam menjadikan aktiviti kecergasan sebagai satu budaya dalam komuniti setempat, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang aktif, sihat dan bermaklumat.
SAMARAHAN, 2 Ogos 2025 – Zumba® Fiesta 2025, yang diadakan di Stadium Hoki Sarawak, telah mencipta sejarah apabila berjaya memecahkan dua Rekod Malaysia melalui penyertaan seramai 11,349 peserta dalam sesi Zumba® selama 90 minit tanpa henti.
Acara mega ini dianjurkan sempena sambutan KZF 2025 : Celebrating 10 Years of Dancing as One – Kuching Style!, dan mendapat sokongan padu daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta kerjasama pelbagai pihak.
Program ini telah menghimpunkan seramai 52 orang Zumba® Instruktur dari pelbagai kawasan termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman, dan Lundu, yang memainkan peranan penting dalam memastikan sesi berjalan dengan lancar, bertenaga dan selamat.
Antara tenaga pengajar yang terlibat ialah Puan Norliati Binti Li, wakil dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, yang menerima Sijil Penghargaan atas sumbangan beliau sebagai salah seorang instruktur aktif dalam acara ini. Dedikasi beliau bersama barisan tenaga pengajar lain telah menyumbang secara langsung kepada kejayaan program ini mencipta dua pencapaian bersejarah dalam Malaysia Book of Records:
1. Penyertaan Terbesar dalam Acara Zumba® – 11,349 peserta
2. Sesi Zumba® 90 Minit Tanpa Henti dengan Penyertaan Teramai – 11,349 peserta
Zumba® Fiesta 2025 bukan sekadar acara kecergasan, malah menjadi platform memperkukuh semangat komuniti serta mempromosi gaya hidup sihat dalam suasana penuh kemeriahan dan perpaduan.
Dengan sokongan masyarakat setempat dan dedikasi para instruktur, kejayaan ini menandakan satu pencapaian bermakna dalam landskap aktiviti kesihatan dan kecergasan di Sarawak.