AYER KEROH, 30 Mac - Save Our Rainforest Race (SORR) 2019 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Taman Botanikal Melaka yang melibatkan penyertaan lebih 1000 orang peserta. Program ini diadakan bersempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Melaka 2019 dan dirasmikan oleh YB Datuk Tey Kok Kiew, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Melaka mewakili YAB Ketua Menteri Melaka. Turut hadir, YB Tuan Kerk Chee Yee, Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan dan Puan Sri To' Puan Datuk Shariffa Sabrina Binti Syed Akil, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA). Di sebalik kejayaan program ini, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka turut membantu dalam menyediakan khidmat sukarelawan rakan muda dan peserta SORR 2019 seramai 50 orang dari kalangan Sekretariat Rakan Muda (SRM) Kolej Antarabangsa Putra Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kelab Rakan Muda Tangga Batu yang diketuai oleh Encik Mohd Hazriq Bin Abu Zarin, Pegawai Rakan Muda JBS Melaka. Turut mengambil bahagian dalam SORR 2019 adalah Encik Yan Mohd Nor Alif Bin Mohamad Noh, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah. Satu program yang amat baik bagi meningkatkan kesedaran kepentingan hutan hujan tropika di negara ini, seterusnya mendidik peserta membantu menjaga alam sekitar secara mapan. Semoga PEKA Malaysia terus memperjuangkan pemeliharaan hutan yang masih ada lagi di negara ini daripada dirosakkan dengan rakusnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mementingkan keuntungan wang ringgit semata-mata.
Disediakan oleh: Mohd Hazriq Bin Abu Zarin (Pegawai Perhubungan Komuniti Rakan Muda)
Disediakan oleh: Mohd Hazriq Bin Abu Zarin (Pegawai Perhubungan Komuniti Rakan Muda)
- JBS Melaka
- Hits: 517
