LENDU, 17 Mei – Kompleks Rakan Muda Alor Gajah akan melalui satu lagi fasa pembaharuan apabila dijangka akan dinaik taraf kepada struktur kompleks yang lebih kondusif pada masa akan datang. Penstrukturan semula yang bakal menelan belanja hampir RM 4 juta ini akan melibatkan binaan semula pagar kawasan, blok dewan besar, ruang pejabat, blok asrama, gelanggang-gelanggang sukan dan beberapa struktur binaan yang lain lagi. Sebagai permulaan kepada kemajuan projek ini, satu sesi taklimat dan lawatan tapak telah dilaksanakan di sini melalui penyelarasan dan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Sesi ini dipengerusikan oleh Encik Ismail Bin Mahmud, Jurutera Awam Penguasa dari JKR Putrajaya. Seramai 23 orang dari pelbagai bahagian di JKR Negeri Melaka telah hadir dalam sesi ini untuk berdiskusi mengenai cadangan projek tersebut. Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai. Turut hadir ialah Puan Marina Binti Nafi, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka.
DURIAN TUNGGAL, 4 Mei – Pejabat JAPERUN DUN Durian Tunggal melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah telah menganjurkan Program One Stop Help Centre Peringkat DUN Durian Tunggal yang bertempat di Kompleks JAPERUN DUN Durian Tunggal. Program yang melibatkan kira-kira 10 buah agensi kerajaan dan swasta sekitar Daerah Alor Gajah dan juga Negeri Melaka ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan secara terus dan berkelompok kepada orang ramai khususnya penduduk-penduduk sekitar DUN Durian Tunggal. Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka bersama Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah turut tidak ketinggalan dalam menyertai program ini bagi mempromosikan program-program dan peranan Jabatan ini dalam membangunkan belia dan juga sukan setempat. Sebagai tambahan, peluang ini digunakan juga untuk mempromosikan produk Kerajaan Negeri Melaka khusus kepada golongan belia iaitu Rumah Belia Melaka. Turut hadir memeriahkan program ini ialah YB Datuk Mohd Sofi Bin Abdul Wahab, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Negeri Melaka merangkap ADUN Durian Tunggal.
MELAKA, 4 MEI 2019–Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah dengan Kolej Cosmopoint Melaka, MiCOST, Kolej Antarabangsa Putra dan SMK Tun Mutahir telah melaksanakan gotong royong membersihkan Masjid Al-Abrar Semabok dan Tanah Perkuburan Islam Semabok. Seramai lebih kurang 70 peserta telah mengambil bahangian melibatkan Pemimpin dan peserta Anugerah Remaja Perdana (ARP) Daerah Melaka Tengah. Turut hadir Pengerusi Masjid Hj. Kadir bin Hj Zainal , AJK Masjis Al-Abrar serta penduduk Kampung yang turur membantu. Program ini diharap akan dapat mengeratkan lagi silaturrahim, sifat kerjasama, bantu membantu, Kesukarelaan dikalangan masyarakat. Pihak Masjid turut menyumbang makanan untuk semua sukarelawan yang bertugas.
Disediakan oleh : Morni binti Ibrahim , Bahagian Rakan Muda PBSD Melaka Tengah.
AYER KEROH, 25 April - Sekretariat Rakan Muda (SRM) Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) telah mengadakan kunjung hormat kepada Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka bagi memperkukuhkan lagi hubungan baik antara kedua-dua pihak. Sehingga ke hari ini hampir semua SRM di Negeri Melaka telah melakukan kunjung hormat kepada pihak JBS dan ianya bakal memantapkan lagi keluarga SRM ini agar sentiasa aktif di dalam melaksanakan pelbagai aktiviti khusus untuk para remaja yang sedang belajar di IPTA/IPTS. Di dalam kunjung hormat ini SRM KUIM yang dipimpin oleh Sdr. Mohamad Haizarulnizam Bin Halim selaku Presiden telah menerangkan beberapa program yang dirancang dan akan dilaksanakan pada tahun ini seperti Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dan juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak JBS bagi membantu menjayakan program-program berskala besar seperti Hari Belia Negara dan Hari Sukan Negara. Turut hadir dalam perbincangan ini yang banyak memberikan idea bernas serta kata-kata semangat adalah Encik Azmee Amar Azwan Bin Mostapa, Penolong Pengarah Rakan Muda JBS Negeri Melaka. Semoga SRM KUIM ini terus bergerak aktif dan dapat menaikkan lagi imej serta nama Kolej Universiti Islam Melaka setanding dengan institusi pengajian tinggi yang terkemuka di negara ini.
Disediakan oleh : Mohd Hazriq Bin Abu Zarin (Pegawai Perhubungan Komuniti Rakan Muda JBSNM)
MERLIMAU, 26 April 2019 - Kursus Pembuatan Aneka Roti, Kek dan Pastri sempena Program Youth Career (Y-Career) Peringkat Daerah Jasin telah berlangsung dengan jayanya dari 22 hingga 26 April 2019 di Kolej Komuniti Jasin yang melibatkan 15 orang peserta. Konsep program ini merupakan salah satu pendekatan latihan jangka pendek atau separuh masa iaitu menekankan aspek keusahawanan dan kemahiran secara fleksibel yang telah diperkenalkan dalam pelaksanaan Projek Rintis 2017 di bawah inisiatif membantu belia miskin. Antara kelas yang dijalankan selama 5 hari tersebut ialah pembuatan pau sambal frozen, popia karbonara, popia otak-otak, asas roti manis, roti kacang merah, business cooywriting, business online marketing, kek marbel dan kek pisang. Program yang dianjurkan Pejabat Belia dan Sukan Jasin dengan kerjasama Kolej Komuniti Jasin. Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Roslinda Osman, Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Jasin. Hadir sama ialah Mohd Syahmi Md Lasa, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin.
JASIN, 29 April 2019 - Program Fitness Together Daerah Jasin 2019 melabuhkan tirainya selepas dilaksanakan sebanyak 8 sesi. Program berkenaan yang mendapat kerjasama Puspanita Daerah Jasin memberi peluang kepada ahlinya terlibat dalam aktiviti kecergasan sepanjang program dijalankan. Dalam program seramai 40 orang peserta itu, hadiah sebanyak RM1,500 ditawarkan kepada peserta yang menunjukkan prestasi. Antara kriteria pemarkahan adalah dari aspek kehadiran, berat badan, komitmen dan markah jurulatih. Johan telah dimenangi oleh Siti Hajar Hasim, Naib Johan, Zainon Mohd Noor dan Ketiga, Umi Kalsom Isa. Hadiah telah disampai oleh Siti Aisyah Harun, Penolong Pegawai Daerah Jasin. Hadir sama ialah Ahmad Iswadi Ishak, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin dan Saudara Mohd Azlan Mohd Noor, Ketua Jurulatih Kecergasan
MELAKA, 16 APRIL 2019 - Pengumuman pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2019 oleh Ketua Menteri Melaka, Tuan Adly bin Zahari di Hotel Avillion, Bandar Melaka amat membanggakan warga belia Daerah Jasin khususnya.Bagi kategori pertubuhan belia, Persatuan Belia Seri Tanjung Labuh diumumkan sebagai Johan Peringkat Negeri Melaka. Bagi kategori individu wanita pula, Nurul Widayu binti Abd Razak sebagai Naib Johan.Hadir sama di majlis tersebut, Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee, Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka, Saudara Ridhwan Ali dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Marina Nafi.Johan persatuan akan mewakili Negeri Melaka di peringkat Kebangsaan. Untuk rekod, MAYC Simpang Bekoh pernah mendapat Johan Kebangsaan tahun 2013 dan Gerakan Belia 4B (M) Merlimau Pasir juga pernah merangkul Johan di peringkat Kebangsaan pada tahun 2015.
SUNGAI RAMBAI, 27 April 2019 - Bengkel Pengenalan Destar, Tanjak dan Tengkolok telah diadakan dengan jayanya di Dewan PKD Sungai Rambai. Bengkel dengan kerjasama Persatuan Belia MAYC Seri Pengkalan Lambak, Japerun Sungai Rambai dan PKD Sungai Rambai. Bengkel ini dikendalikan oleh Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu. Seramai 25 orang peserta dari beberapa negeri hadir bagi mendalami adat Melayu yang semakin dilupakan ini.Objektif bengkel ini diadakan untuk mendidik masyarakat tentang nilai adat budaya Melayu yang semakin dilupakan. Selain itu juga dapat memberikan pengetahuan kepada masyarakat bersama belia dan beliawanis setempat selain ukhwah sesama mereka. Peserta didedahkan cara mengarang 8 jenis tanjak , beberapa jenis tengkolok wanita dan ikatan samping.
MELAKA, 7 April 2018 - Kehangatan siri Jelajah Lumba Basikal terbaik Asia, Le Tour de Langkawi 2019 di teruskan dengan Peringkat Ke-2 dari Senawang ke Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka membabitkan jarak sejauh 200.6 km.Pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka bersama Kerajaan Negeri Melaka dengan bantuan pelbagai agensi dan pasukan sahabat telah membantu penganjuran ini dengan mengkoordinasi pelbagai jawatankuasa dalam memastikan kelancaran program yang telah berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.Sambutan bagi acara penamat perlumbaan Peringkat ke 2 ini cukup meriah dengan kehadiran ramai penonton dalam menyambut ketibaan para pelumba di garisan penamat di Dataran Pahlawan, Banda Hilir. Acara sampingan yang di adakan juga seperti persembahan tarian kebudayaan tempatan, dan aksi lagak ngeri Army Red Warrior (Kor Polis Tentera Diraja) menjadi tarikan utama para penonton. Hadir sama dalam program tersebut YB Tuan Kerk Chee Yee selaku EXCO Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka selaku wakil rasmi YAB Ketua Menteri Melaka, YB Datuk Muhamad Jailani bin Khamis, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, YBhg. Dato' Dr. Hjh Wasitah Binti Hj Mohd Yusof, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS, dan YBrs. Encik Mohd Azhari bin Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negara mewakili Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.Keputusan rasmi perlumbaan Peringkat Ke-2 menyaksikan pelumba tempatan, Mohd Hariff Salleh daripada Terengganu Cycling Team mengungguli tempat pertama di ikuti pelumba daripada pasukan Bardiani Itali, Andrea Guardini dan pelumba Jepun, Kuboki Kazushise ditempat ketiga.Pemenang jersi pula menyaksikan pelumba Korea Selatan, Kim Ji Hun daripada pasukan KSPO Bianchi Asian mengungguli jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia), manakala pelumba Australia, Angus Lyon daripada pasukan Oliver's Real Food memenangi jersi Merah (Pelumba Raja Bukit). Pemenang bagi jersi Hijau (Pelumba Raja Pecut) dan jersi Kuning (Pelumba Juara Keseluruhan) dimenangi oleh pelumba Australia, Marcus Culey mewakili pasukan Sapura.Sesungguhnya usahasama dan gabungjalin sesama agensi ini membuahkan hasil dan manfaat bersama buat Negeri Melaka khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2019 dan faedah agensi dan rakyat amnya. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas kejayaan kolektif ini.