Bukit Mertajam, 4 Oktober 2025 - Malaysia Aktif – 5KM Fun Run Program pagi ini telah disempurnakan dengan pelepasan larian oleh Yang Berusaha En. Mozakir Bin Buyong Mokhtar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang.
Terima kasih atas sokongan semua peserta yang hadir memeriahkan acara. Semangat anda adalah nadi kejayaan program ini!
Gelugor, 2 Oktober 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya hari ini telah menerima kunjungan wakil daripada Kelab Bola Sepak Desa Sungai Ara pada hari ini.
Kunjungan ini bertujuan untuk menjalin kerjasama strategik serta membincangkan peluang dan perancangan aktiviti pembangunan bola sepak di peringkat komuniti setempat. Dalam pertemuan ini, pihak pejabat turut memberikan khidmat nasihat berkaitan penghantaran dokumen MYKB kelab serta panduan pembukaan akaun bank kelab bagi memperkemas urusan pentadbiran kelab.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kelab Bola Sepak Desa Sungai Ara atas inisiatif menjalin kerjasama ini. Pihak pejabat sentiasa komited menyokong usaha kelab-kelab sukan tempatan dalam memperkasakan bakat belia, menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kesukanan dan perpaduan masyarakat.
Gelugor, 2 Oktober 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya hari ini menerima kunjungan daripada Chinese Swimming Club bagi sesi perbincangan dan khidmat nasihat berkaitan penubuhan badan sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
Sesi ini telah dipengerusikan oleh En. Muhammad Daniel bin Haris Nasation, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Barat Daya yang turut memberikan penerangan mengenai keperluan serta tatacara pendaftaran badan sukan bagi memastikan kelab yang ditubuhkan dapat beroperasi dengan lebih tersusun, sah dari segi undang-undang, serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya sentiasa komited dalam menyokong usaha mana-mana persatuan, kelab atau pertubuhan sukan yang ingin berdaftar secara rasmi, sekaligus memperkukuh pembangunan sukan di daerah ini.
Gelugor, 1 Oktober 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya pagi ini telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya Bil. 10/2025 yang dipengerusikan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Barat Daya.
Mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan program yang sedang berjalan serta perancangan program akan datang bagi setiap unit. Selain itu, mesyuarat kali ini juga diserikan dengan kehadiran semula Pegawai Unit Pembangunan Belia PBSD Barat Daya, En. Muhamad Fairuz b. Mohd Merzukhi ke pejabat setelah bercuti sakit selepas menjalani pembedahan mata.
Semoga perbincangan ini terus memperkukuhkan perancangan strategik dan penyampaian program yang bermanfaat kepada komuniti belia dan sukan serta masyarakat setempat.
Balik, Pulau, 29 September 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya dengan kerjasama PAWE Balik Pulau dan Kelab Senamrobik Balik Pulau telah melaksanakan Program Senaman Warga Emas Aktif Siri 7 bertempat di Pusat Warga Emas (PAWE) Balik Pulau pagi ini.
Siri kali ini diperluaskan khas untuk komuniti warga emas di Balik Pulau, dengan pengisian aktiviti briskwalk dan senamrobik. Program ini bukan sahaja memberi ruang untuk warga emas mengekalkan tahap kecergasan, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Semoga komuniti warga emas di Balik Pulau terus aktif, cergas dan ceria! Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Barat Daya
Bayan Lepas, 27 September 2025 - Telah bermula pelaksanaan Program KLAS Renang Fasa 2 Tahun 2025 bagi peringkat daerah Barat Daya yang melibatkan seramai 40 orang kanak-kanak bertempat di Kompleks Sukan Bandaraya Relau.
KLAS Renang yang diadakan selama 6 sesi ini melibatkan kanak-kanak yang berumur 6 hingga 12 tahun yang telah terpilih berdasarkan kuota yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Renang Amatur Negeri Pulau Pinang (PASA).
Program ini turut disambut baik oleh ibu bapa peserta yang melihatnya sebagai platform yang bermanfaat untuk perkembangan fizikal dan disiplin anak-anak. Pakaian renang, goggles dan penyertaan percuma menambah lagi keseronokan peserta yang rata-rata kali pertama datang menghadiri latihan renang pada kali ini.
Diharapkan dengan adanya program ini dapat memberi pendidikan dan pendedahan asas berkaitan renang kepada kanak-kanak sebagai salah satu kemahiran untuk menyelamatkan diri jika berlaku sebarang insiden semasa mengikuti aktiviti -aktiviti yang melibatkan air.
SUNGAI ARA, 27 September 2025 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya dengan kerjasama Line Dance Community Sungai Ara telah mengajurkan program Senaman Warga Emas Aktif Peringkat Daerah Barat Daya Siri 6 bertempat di Sungai Ara Waterfront, Bayan Lepas.
Siri kali ini menampilkan aktiviti senaman Aerodance yang disertai seramai 50 orang komuniti warga emas di sekitar Sungai Ara. Suasana yang meriah dengan iringan muzik yang bertenaga menjadikan sesi senaman kali ini menceriakan warga emas setempat.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Barat Daya akan terus komited dalam memastikan komuniti warga emas mendapat akses kepada program berbentuk kecergasan dan gaya hidup sihat agar mereka kekal aktif dan sihat.
Bayan Lepas, 23 September 2025 - Pegawai Belia dan Sukan Daerah Barat Daya, En. Muhammad Daniel bin Haris Nasation telah dijemput oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Barat Daya untuk menyampaikan ceramah sempena Program i-PULIH Pendidikan Kesihatan AADK Barat Daya.
Ceramah yang dianjurkan ini memberi pendedahan kepada para peserta mengenai kepentingan gaya hidup sihat, kepelbagaian aktiviti kecergasan serta peranan sukan dalam mencegah gejala tidak sihat di kalangan masyarakat.
Pendekatan ini diharap dapat memberi motivasi kepada peserta untuk lebih aktif melibatkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan sebagai salah satu usaha membentuk komuniti sihat dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Sungai Jawi, 29 September 2025 (sabtu) - Seramai 20 orang belia di sekitar Daerah Seberang Perai Selatan telah menyertai Program Rakan Muda Rakan Mahir : Skill For Life @ Parlimen yang bertempat di Kompleks Rakan Muda Jawi
Program anjuran unit rakan muda pejabat belia Daerah Seberang Perai Selatan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Nibong Tebal, Majlis Belia Daerah Seberang Perai Selatan dan Laman Wanita Nibong Tebal (LAWA) Daerah Seberang Perai Selatan telah mendapat sambutan yang baik dari belia di sekitar daerah ini.
program ini juga dihadiri oleh Yang Berhormat Puan Fadhlina Binti Sidek, Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Yang Berhormat juga turut menyantuni para peserta yang hadir di dalam program ini.
Sehubungan dengan itu, program yang berbentuk kemahiran ini dapat memberi inspirasi kepada para belia agar dapat membuka peluang yang luas untuk mengembangkan lagi bakat mereka disamping dapat menambahkan lagi pendapatan mereka pada masa akan datang.