MUAR, 13 November 2019 – Program FitMalaysia@Community siri ke-2 peringkat daerah Muar 2019 bagi setengah tahun kedua telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di SK Parit Setongkat, Muar bermula jam 7.30 pagi. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Muar mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah bagi kebenaran penggunaan tempat dan penglibatan pelajar serta guru yang telah menyertai aktiviti senamrobik diketuai oleh Pn Laily dan Pn Ain. Program ini dikelolakan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Muar dengan kerjasama Persatuan Belia Komuniti Pemuzik Muar.
SEGAMAT, 10 November 2019 - Seramai 44 orang peserta program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) menerusi Badan Operasi Persatuan Belia G2 Felda Pemanis yang merupakan pelajar SMK LKTP Pemanis telah ditauliahkan anugerah pada tahap Gangsa dan Perak. Ia melibatkan seramai 15 orang penerima Tahap Perak dan 29 orang Tahap Gangsa.
Majlis diadakan sempena perhimpunan bulanan kokurikulum sekolah berkenaan dan disempurnakan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat, Encik Maizatul Asrul bin Mohd Yunus. Beliau juga telah menyampaikan anugerah untuk Tahap Gangsa. Anugerah bagi Tahap Perak pula telah disempurnakan oleh Pengetua, Puan Hajah Noor Azura Jefferi.
Turut hadir adalah Tuan Haji Sabtu Ibrahim (Yang DiPertua PIBG), Encik Armizam Abd Rahim (Ketua Mentor ARPRM) dan guru - guru sekolah.
Dalam ucapannya, Encik Maizatul melahirkan rasa bertuah kerana dapat berkunjung dan menemui belia remaja sekolah khususnya mereka yang melaksanakan ARPRM buat pertama kali semenjak 5 bulan beliau berkhidmat di daerah Segamat. Beliau juga menyampaikan pesanan agar remaja bijak dalam mengisi masa lapang, khususnya dengan melaksanakan aktiviti yang berfaedah menerusi program ARPRM ini.
Majlis turut memberikan penghargaan khas kepada 12 orang peserta ARPRM dari semua tahap yang melaksanakan penulisan Buku Rekod ARPRM di dalam Bahasa Inggeris. Ia telah disampaikan oleh Ketua Mentor Program.
Ini merupakan Fasa 2 dalam Pentauliahan ARPRM menerusi Badan Operasi G2. Terdahulu, menerusi Fasa 1 yang melibatkan pelajar bukan dari SMK LKTP Pemanis, majlis pentauliahan telah diadakan pada 26 Oktober lepas dan disempurnakan oleh Encik Shahrul Izwan A Rahman, Penolong Pengarah Sukan Prestasi Tinggi Sekolah, Sektor Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan diadakan di Sekolah Kebangsaan LKTP Pemanis 1. Mereka yang menerima anugerah menerusi Fasa 1 ini merupakan pelajar dari Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, sekolah berasrama yang lain dan belia lepasan sekolah.
Keseluruhannya, untuk sesi 2019, Persatuan Belia G2 Felda Pemanis melahirkan seramai 56 penerima ARPRM dengan pecahan 7 orang Tahap Emas (3 darinya adalah pelajar SMK LKTP Pemanis), 16 orang Tahap Perak dan 33 orang Tahap Gangsa.
Program APRRM ini adalah merupakan sebuah program antarabangsa yang dikenali di seluruh dunia sebagai The Duke of Edinburgh's International Award (DofE).
MUAR, 6 November 2019 – Program FitMalaysia@Community peringkat daerah Muar 2019 bagi setengah tahun kedua telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di SJKC Chung Hwa 2A dan 2B, Muar bermula jam 7.30 pagi. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Muar mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah bagi kebenaran penggunaan tempat dan penglibatan pelajar serta guru yang telah menyertai aktiviti senamrobik diketuai oleh Cik Laura. Program ini dikelolakan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Muar dengan kerjasama Persatuan Belia Komuniti Pemuzik Muar.
CHOKOH, TG. PIAI, PONTIAN. 28 Oktober 2019 - Sebanyak lima (5) buah rumah telah menerima kehadiran seramai 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (ILKBS), Sukarelawan Rakan Muda Pontian dan Penduduk-penduduk tempatan.
Program ini bermula jam 7.30 pagi di Sekolah Agama Sinaran Chokoh di mana ke semua peserta melapor diri, sarapan pagi dan melakukan aktiviti rengangan dan seterusnya di beri taklimat dan pembahagian tugas mengikut rumah-rumah yang telah ditetapkan.
Dalam program ini, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, Malaysia turut sama menjayakan aktiviti gotong royong bersama peserta-peserta sukarelawan dan dapat menziarahi tiga (3) buah rumah keluarga yang menerima program ini.
Turut sama YBhg. En. Norazli b. Indzam, Setiausaha Bahagian Pembangunan KBS, YBhg. En. Shamsuhaime Bin Basir, Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan En. Norman, Pengerusi MPKK Kg. Chokoh, Tg. Piai.
Program ini tamat jam 5.00 petang dan peserta-peserta berkumpul semula di Sekolah Agama Sinaran Chokoh.
AYER MASIN, KUKUP, PONTIAN. 29 Oktober 2019 - Kira-kira 350 orang menghadiri Majlis Bersama YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, Malaysia yang diadakan di Kompleks Penghulu Ayer Masin, Kukup pada jam 12.00 tengah hari.
Turut diadakan aktiviti Pertandingan Liga Penalti Futsal (Lelaki dan Wanita), Seminar Kerjaya Sehari, Pameran dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar dan Pagoh, Cabutan No. Bertuah dan Senamrobik.
Turut hadir, YBhg. Datuk M. Noor Azman b. Taib, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia, YBhg. En. Azhari b. Mohammad, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negara, YBhg. En. Norazli b. Indzam, Setiausaha Pembangunan KBS, YBhg. En. Shamsuhaime Bin Basir, Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Pengarah-Pengarah IKBN Pagoh dan Bandar Penawar dan YBrs. En. Faiz, Penghulu Mukim Ayer Masin.
Pihak kami mengucapkan terima kasih di atas kesudiaan semua pihak untuk hadir memeriahkan Majlis ini.
MERSING, 25 Oktober 2019– Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Daerah Mersing 2019 telah diadakan di Amphitheatre Mersing pada 24 Oktober 2019 (Khamis) bermula seawal jam 7.30 pagi. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan (Sport Nation) menjelang tahun 2020, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia menganjurkan Bulan Sukan Negara sepanjang bulan Oktober 2019 di seluruh negara.
Seramai 950 orang warga Mersing telah menyertai pelbagai aktiviti sukan sempena Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Daerah Mersing 2019 yang meliputi acara Senamrobik BSN, Pertandingan Aerobikton, Fun Walk Breast Cancer Awareness, Pertandingan Beyblade, persembahan Lompat Tali Untuk Jantung (LTUJ) dan Pameran Agensi Kerajaan dan Celcom.
Majlis Sambutan ini telah disempurnakan oleh YBhg Tuan Asman Shah bin Abd Rahman, Pegawai Daerah Mersing dan telah dihadiri Ketua-ketua Jabatan negeri dan persekutuan di Daerah Mersing.
Program ini juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan dan orang awam.
Bagi memeriahkan lagi Bulan Sukan Negara Peringkat Daerah selama sebulan ini, Agensi Kerajaan, persatuan sukan, persatuan belia dan sekolah-sekolah di Daerah Mersing digalakkan untuk mengadakan aktiviti sukan di premis masing-masing.
SERKAT,PONTIAN, 19 Oktober 2019 - MERIAH!!! Itulah dapat digambarkan Program #YouthPower@Community Serkat bersama YB. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, Malaysia yang hadir untuk bersama-sama lebih 100 orang penduduk kampung Mukim Serkat bagi menyertai Sukan Rakyat.
Sukan Rakyat tersebut bersempena Bulan Sukan Negara (BSN) bermula jam 2.00 petang dengan dimulakan dengan Sepak Yem, Boling Kelapa, Dam Haji dan lain-lain lagi. Setiap lapisan masyarakat termasuk belia-belia dapat menyertainya dengan penuh santai dan menghiburkan.
Ketibaan YB. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disambut oleh YB. Hj. Mohd Solihan Badri, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor yang turut sama hadir memeriahkan acara. Pihak YB. juga sempat beramah mesra dengan penduduk dan mencuba permainan Boling Kelapa dan Dam Haji.
Dalam program itu juga, pihak YB. telah menyerahkan 8 set peralatan sukan kepada 8 orang Ketua Kampung Mukim Serkat untuk kegunaan masyarakat kampung pada masa akan datang.
Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, En. Shamsuhaime b. Basir, Penghulu Mukim Serkat, En. Roslan b. Bohari dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian, En. Sidek b. Md Said juga turut sama ke Program tersebut.
MUAR, 20 Oktober 2019 – Pertandingan Futsal Lelaki Sempena Bulan Sukan Negara 2019 daerah Muar telah berjaya dilaksanakan bertempat di Gelanggang Futsal Galaxy, Jalan Joned, Muar.
Pertandingan ini telah disertai oleh 15 buah pasukan yang mewakili pelbagai kelab, agensi dan komuniti. Pasukan MBD City telah dinobatkan sebagai Johan pada pertandingan kali ini menewaskan Pasukan Titans di perlawanan akhir.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Muar mengucapkan ribuan terima kasih pihak yang terlibat sama menjayakan ini. Program ini dikelolakan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Muar dengan kerjasama persatuan Bola Sepak Daerah Muar.