- JBS Sarawak
- Hits: 19
LAWATAN TAPAK PERTANDINGAN WALL CLIMBING SEMPENA HARI SUKAN NEGARA 2026
- JBS Sarawak
- Hits: 19
Disediakan oleh: M Johari, JBSN Sarawak
SARIKEI, 13 Oktober 2026 – Persiapan bagi penganjuran Pertandingan Wall Climbing sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 terus diperkukuh menerusi lawatan tapak oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei (PBSB Sarikei) ke Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, hari ini.
Lawatan tersebut diketuai oleh Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei, dan disambut oleh Tuan Mijan bin Pamin. Lawatan ini bertujuan meninjau kesesuaian lokasi serta memastikan persiapan bagi pelaksanaan pertandingan berjalan lancar dan memenuhi keperluan penganjuran.
Pertandingan Wall Climbing ini merupakan penganjuran julung kali di Daerah Meradong sempena HSN 2026. Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan sukan mencabar yang menguji kekuatan fizikal, ketahanan mental, keberanian dan keyakinan diri dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.
Hasil lawatan mendapati keadaan tapak adalah memuaskan dan memberikan keyakinan terhadap pelaksanaan program yang dirancang. Kemudahan yang tersedia di lokasi berkenaan juga menjadi antara faktor penting dalam menyokong kelancaran pertandingan.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memeriahkan sambutan HSN 2026, PBSB Sarikei turut menyalurkan sedikit peruntukan daripada Jawatankuasa Sambutan Hari Sukan Negara 2026 bagi membantu pelaksanaan program tersebut.
Penganjuran pertandingan ini diharap dapat menyemarakkan budaya hidup aktif dan sihat, di samping membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk mengenali serta mencuba sukan Wall Climbing sebagai aktiviti kecergasan yang menyeronokkan dan mencabar.
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen PBSB Sarikei dalam memperluas kepelbagaian aktiviti sukan di peringkat komuniti serta memastikan sambutan HSN 2026 terus menjadi platform untuk menyatukan masyarakat melalui sukan dan gaya hidup sihat.
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama
#TeamPBS6D
