- JBS Sarawak
- Hits: 19
Program Pengurusan Organisasi Peringkat Bahagian Mukah 2026 Perkasa Kemahiran Pengurusan Belia
- JBS Sarawak
- Hits: 19
Disediakan oleh: Mohammad Arbi Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 21 SEPTEMBER 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah menganjurkan Program Pengurusan Organisasi Peringkat Bahagian Mukah 2026 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 18 hingga 20 September 2026 bertempat di Kem Belia Mukah. Program tersebut melibatkan seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada ahli pelbagai kelab belia, Kelab Rakan Muda serta belia daripada GIATMARA Mukah dan PPKS Mukah.
Sepanjang tiga hari program, peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian yang bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan organisasi. Antara pengisian yang dilaksanakan termasuk kepimpinan dan komunikasi, pengurusan dokumentasi serta surat-menyurat organisasi, pengurusan kewangan, pengurusan mesyuarat dan pelaporan MYKD. Selain pengisian berbentuk teori dan pengurusan, peserta turut menyertai cabaran Explorace secara berkumpulan serta pelbagai aktiviti sampingan yang dirangka bagi memupuk semangat kerjasama, kepimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah dalam kalangan peserta.
Program ini juga menjadi platform kepada para peserta untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta membina jaringan kerjasama antara kelab belia dan organisasi belia di Bahagian Mukah. Majlis Penutup Rasmi Program Pengurusan Organisasi Peringkat Bahagian Mukah 2026 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Royston Valentine, ADUN N.57 Tellian. Beliau turut diiringi oleh Encik Bonnie Manau Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah.
Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan keupayaan para belia dalam mengurus organisasi secara lebih sistematik, teratur dan berkesan, sekali gus melahirkan barisan pemimpin belia yang aktif serta mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua agensi, para fasilitator serta individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.
