- JBS Sarawak
- Hits: 70
MESYUARAT PENYELARASAN AKTIVITI HARI SUKAN NEGARA BAHAGIAN SARIKEI 2026
- JBS Sarawak
- Hits: 70
Disediakan oleh: M Johari, JBSN Sarawak
SARIKEI, 26 Ogos 2026 – Persiapan bagi menjayakan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Bahagian Sarikei 2026 terus diperkukuhkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti HSN Bahagian Sarikei 2026 yang berlangsung hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei, diadakan bagi menyelaras serta memperincikan perancangan pelaksanaan pelbagai aktiviti sempena HSN 2026 agar dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Kemuncak sambutan HSN Bahagian Sarikei 2026 dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober 2026 bertempat di Dewan Suarah Sarikei, dengan sasaran penyertaan keseluruhan seramai 35,150 orang. Sebanyak 11 aktiviti telah dirancang bagi memeriahkan sambutan HSN tahun ini, antaranya Mass Fit Aerobic, Sarikei Run (Larian Ria MADANI) serta Sebangkoi Rainforest Trail Run & Glamping, selain pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi yang melibatkan penyertaan komuniti setempat.
Penganjuran HSN Bahagian Sarikei 2026 turut memberi penekanan terhadap penglibatan masyarakat secara menyeluruh dalam membudayakan gaya hidup aktif dan sihat. Pada masa yang sama, sukan dijadikan sebagai medium untuk mengeratkan hubungan, memperkukuh semangat kebersamaan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, jabatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan strategik yang hadir dan memberikan sokongan dalam mesyuarat penyelarasan berkenaan.
Kerjasama bersepadu semua pihak diharapkan dapat menjadikan HSN Bahagian Sarikei 2026 sebagai platform sukan komuniti yang meriah, inklusif dan berimpak, sekali gus menyemarakkan budaya bersukan serta memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
#TeamKBS
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama
#TeamPBS6D
