- JBS Sarawak
- Hits: 12
Belia Sibu Sentiasa Mendapat Tempat Di Mata Kepimpinan Setempat
- JBS Sarawak
- Hits: 12
Disediakan oleh: MNI, PBSB Sibu
SIBU, 7 JULAI 2026 – Komitmen kepimpinan setempat dalam memperkasa agenda pembangunan belia terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Bahagian Sibu, yang dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Christopher Ranggau Unting, Timbalan Residen Sibu.
Persidangan yang menghimpunkan lebih 50 orang perwakilan daripada pertubuhan belia, badan sukan serta agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri itu menjadi platform penting bagi membincangkan isu-isu semasa yang memberi impak kepada pembangunan belia di Bahagian Sibu. Sebanyak enam usul telah dibentangkan dan dibahaskan, meliputi isu peningkatan gejala transgender dan homoseksual dalam kalangan belia, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi, kadar sewaan kemudahan sukan milik kerajaan yang tinggi, gejala samseng jalanan dan lumba haram, aktiviti perjudian dalam talian, serta penambahbaikan mekanisme geran bantuan aktiviti belia.
Dalam ucaptamanya, YBhg. Tuan Christopher Ranggau Unting menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited melahirkan generasi belia yang berdaya tahan, berintegriti dan berwawasan sebagai pewaris kepimpinan negara dan negeri. Beliau turut mengingatkan bahawa cabaran yang dihadapi golongan belia pada masa kini semakin kompleks, termasuk isu kesihatan mental, masalah sosial dan jenayah siber yang memerlukan tindakan menyeluruh serta kerjasama pelbagai pihak.
Sementara itu, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu, Puan Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli persidangan atas komitmen dan penyertaan aktif sepanjang sesi perbahasan. Beliau turut memperjelaskan pelbagai bentuk geran dan bantuan yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan belia di peringkat akar umbi.
Mengakhiri persidangan, YBhg. Tuan Christopher Ranggau Unting menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu atas kejayaan menganjurkan persidangan tersebut, di samping mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah menyumbang idea dan pandangan secara konstruktif. Beliau menegaskan bahawa pembangunan belia bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya merupakan amanah bersama yang memerlukan sinergi berterusan antara kerajaan, pertubuhan belia, agensi berkaitan dan masyarakat demi melahirkan generasi pelapis yang berkualiti, progresif serta mampu memacu kemajuan negeri dan negara.
#JBSNBersama #TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNSarawak #PBSBSibu #MPBNSibu
