- JBS Sarawak
- Hits: 16
Penglibatan Belia Akar Umbi Sarawak Perlu Diperkasa Dalam Pembangunan Modul Program
- JBS Sarawak
- Hits: 16
Disediakan oleh: MNI, PBSB Sibu
KUALA LUMPUR, 3 JULAI 2026 – Persepsi bahawa golongan belia khususnya Generasi Z merupakan faktor ketidakberhasilan sesuatu gagasan atau program wajar diperbetulkan. Hakikatnya, generasi belia masa kini memiliki potensi besar, kreatif, berfikiran kritis serta berwawasan. Dengan bimbingan, latihan dan ruang yang sewajarnya, mereka mampu menjadi pemacu pembangunan negara pada masa hadapan.
Bagi memperkukuh usaha tersebut, Bengkel Training of Trainers (TOT) Program Kepimpinan dan Jati Diri Belia (PKJD) telah dilaksanakan bermula 29 Jun hingga 3 Julai 2026 di Cawangan Latihan Khidmat Negara, Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur. Bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta terhadap Modul PKJD yang dibangunkan secara sistematik, holistik dan inklusif, di samping memperkasakan kompetensi mereka sebagai fasilitator sebelum pelaksanaan program di seluruh negara.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu telah diwakili oleh En. Mohd Nadzrul Idzlan bin Mohd Nor sebagai salah seorang bakal fasilitator Program PKJD.
Dalam sesi temu mesra bersama Puan Azura bt Abidin Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, wakil Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu telah mengemukakan cadangan supaya penglibatan belia akar umbi, khususnya anak muda Sarawak, diberikan perhatian dalam proses pembangunan dan penambahbaikan modul. Cadangan tersebut bertujuan memastikan modul yang dibangunkan benar-benar mengambil kira kepelbagaian latar belakang, demografi, budaya, nilai, keperluan serta aspirasi belia di setiap negeri, sekali gus menjadikan pelaksanaannya lebih relevan, inklusif dan berimpak tinggi.
Cadangan tersebut telah menerima maklum balas yang positif daripada Ketua Pengarah JBSN, yang turut meminta pihak urus setia meneliti serta mempertimbangkan pandangan tersebut sebagai salah satu elemen penambahbaikan Modul PKJD pada masa hadapan.
Turut hadir, Dr. Zainah Shariff, TKP (Pembangunan Belia) JBSN dan Brig. Jen. Samad Igom, TKP (Latihan) JLKN. Selaras dengan aspirasi Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara, pembangunan modal insan yang berkualiti perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memberi ruang kepada penyertaan belia sebagai rakan strategik dalam proses merancang, membangun dan melaksanakan program. Pendekatan ini diyakini mampu melahirkan generasi belia yang berdaya saing, berjati diri serta mempunyai semangat kepimpinan yang tinggi demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.
"Membina pemimpin masa hadapan bermula dengan memperkasa mereka yang membimbing hari ini."
#JBSNKomited #RakanMahir #MalaysiaMadani #TeamJBSN #TeamKBS #JBSNBersama #JBSNSarawak #PBSBSibu
