- JBS Sarawak
- Hits: 11
Program Inspire I-Talent 2026 Peringkat Bahagian Miri
- JBS Sarawak
- Hits: 11
Disediakan oleh: A.N.E, JBSN Sarawak
MIRI, 26 Jun 2026 – Program Inspire I-Talent 2026 Peringkat Bahagian Miri telah berlangsung dengan jayanya pada 20 Jun 2026 bertempat di Aster Hall, MRC Branch Facilities, Miri. Program ini dianjurkan bagi menyediakan platform kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk meneroka potensi serta bakat dalam bidang sukan.
Program ini memberi tumpuan kepada usaha mengesan dan membangunkan bakat sukan dalam kalangan golongan OKU melalui pelbagai ujian dan penilaian yang dijalankan. Di samping itu, ia turut berperanan meningkatkan penyertaan golongan OKU dalam aktiviti sukan serta melahirkan lebih ramai atlet para berpotensi yang mampu menjadi pelapis di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sepanjang program berlangsung, beberapa segmen ujian telah dilaksanakan terhadap para peserta bagi menilai tahap kemampuan fizikal dan mengenal pasti jenis sukan yang bersesuaian dengan potensi masing-masing. Penilaian ini merupakan langkah penting dalam usaha membangunkan bakat atlet para secara lebih sistematik dan berterusan.
Pelaksanaan Program Inspire I-Talent 2026 ini diharapkan dapat menjadi medium dalam memperkasakan pembangunan sukan para di Bahagian Miri serta membuka peluang yang lebih luas kepada golongan OKU untuk mencapai kecemerlangan dalam arena sukan, seterusnya mengharumkan nama negeri dan negara pada masa hadapan.
#TeamKBS
#TeamJBSN
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#PBSBMiri
