- JBS Sarawak
- Hits: 6
KEJOHANAN LIGA SUKAN KOMUNITI BOLA JARING (WANITA) TAHUN 2026 PERINGKAT BAHAGIAN SARIKEI
- JBS Sarawak
- Hits: 6
Disediakan Oleh : Jamaika Marciano, JBSN Sarawak
SARIKEI, 16 Jun 2026 – Kejohanan Liga Sukan Komuniti Bola Jaring (Wanita) Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2026 telah berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan 13 pasukan wanita dari seluruh Bahagian Sarikei pada 13 Jun 2026 yang lalu.
Kejohanan yang dianjurkan bertujuan untuk memperkasa pembangunan sukan komuniti serta mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola jaring ini menyaksikan persaingan sengit dan penuh semangat kesukanan daripada semua pasukan yang bertanding. Selain menjadi platform pertandingan, kejohanan ini turut berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Jamaika Marciano, mewakili Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei bersama Puan Huong Ai Sui, Pengerusi Persatuan Bola Jaring Sarikei.
Dalam kejohanan tersebut, pasukan PBJS muncul sebagai johan selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan. Tempat kedua pula disandang oleh GOAL DIGGERS, manakala BE2WIN dan SMK Tinggi Sarikei berkongsi kedudukan tempat ketiga.
Pasukan-pasukan yang berjaya akan membawa cabaran Bahagian Sarikei ke Liga Sukan Komuniti Bola Jaring (Wanita) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai nanti. Kejayaan ini membuktikan bahawa sukan bola jaring terus mendapat tempat dalam kalangan komuniti wanita dan berpotensi melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pasukan yang telah menunjukkan komitmen, disiplin dan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan bola jaring yang lebih cemerlang di Bahagian Sarikei.
#TeamKBS
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#ihsanMADANI
#HarungiBersama
#Teampbs6d
