- JBS Sarawak
- Hits: 52
Pemerkasaan Ekonomi Belia Melalui Program Agrobelia Lestari @ Rakan Mahir Peringkat Negeri Sarawak 2026
- JBS Sarawak
- Hits: 52
Disediakan oleh: M. Sherman, JBSN Sarawak.
KUCHING, 16 Jun 2026 – Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Sarawak telah berjaya menganjurkan Sesi Latihan Kemahiran Program Agrobelia Lestari @ Rakan Mahir Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini. Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu telah diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Program Agrobelia Lestari @ Rakan Mahir merupakan inisiatif berbentuk pelaksanaan projek dalam bidang agromakanan, yang merangkumi latihan kemahiran bersepadu serta bimbingan teknikal. Terbuka kepada pertubuhan belia, program ini bertujuan memperkasa golongan muda dengan menggalakkan penglibatan aktif dalam sektor agromakanan sebagai sumber pendapatan alternatif, sekali gus mewujudkan peluang penciptaan pekerjaan di peringkat komuniti setempat.
Sesi latihan kemahiran ini telah dihadiri oleh seramai 44 orang belia dari pelbagai pertubuhan belia. Bagi memastikan penyampaian modul yang komprehensif, slot bimbingan telah dikendalikan oleh barisan penceramah jemputan daripada Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok dan Jabatan Pertanian Negeri Sarawak. Sesi kali ini turut melibatkan penyertaan daripada Kelab Belia Sejati Sadong yang telah terpilih sebagai penerima dana bantuan bagi pembiayaan program tersebut.
Majlis penutupan rasmi program telah disempurnakan oleh Pengarah JBSN Sarawak, YBrs Tuan Lamat Anak Nyalau. Komitmen berterusan daripada jabatan diyakini dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani dalam kalangan belia yang berdaya saing dan dinamik.
#TeamKBS
#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMADANI
#RakanMahir
