- JBS Sarawak
- Hits: 21
REMAJA BERENTAP PENUH GAYA, MERIAHKAN SEMANGAT KESUKANAN MINI KARNIVAL BOLA SEPAK BAWAH 18 ANJURAN BINTAGOR FOOTBALL CLUB
- JBS Sarawak
- Hits: 21
Disediakan Oleh : ZL, JBSN Sarawak
SARIKEI, 10 Mei 2026 - Gegak gempita sorakan penyokong serta semangat juang para pemain muda mewarnai penganjuran Mini Karnival Bola Sepak Bawah 18 yang berlangsung dengan penuh gemilang di Kompleks Sukan Bintangor.
Mini Karnival Bola Sepak Bawah 18 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh semangat kesukanan dan perpaduan melibatkan penyertaan pasukan-pasukan remaja dari beberapa Bahagian Sarawak seperti Sibu, Miri, Sarikei, Kanowit, Daro dan Meradong.
Penganjuran karnival yang menghimpunkan barisan pemain muda berbakat ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah berperanan sebagai platform penting dalam mencungkil permata-permata baharu arena bola sepak tanah air. Dengan semangat kesukanan yang tinggi, para peserta mempamerkan aksi penuh bertenaga, disiplin serta kerjasama berpasukan yang membanggakan.
Sebanyak 8 pasukan telah mengambil bahagian sepanjang kejohanan berlangsung. Perlawanan akhir memperlihatkan saingan yang sengit antara Pasukan SMK Belawai, Daro dan SMK TPDP Hjh Normah, Daro sebelum kemenangan berpihak kepada Pasukan SMK Belawai, Daro dengan keputusan 2 : 1.
Menurut pihak penganjur Bintagor Football Club (BFC), penganjuran program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan dalam melahirkan atlet muda yang berpotensi serta berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.
Majlis penutupan diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan daripada Pejabat Daerah Meradong, Pejabat Pendidikan Daerah Meradong dan Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Sarikei serta rakan strategik pengajur. Acara penyampaian piala dan medal sebagai penghargaan kepada para pemenang juga telah disempurnakan tetamu jemputan.
Karnival ini diharap dapat menjadi platform yang efektif dalam memperkukuh pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi.
#TeamKBS
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#ihsanMADANI
#HarungiBersama
#Teampbs6d
