- JBS Sarawak
- Hits: 10
MEMPERKASA BELIA MELALUI RUAI-FIT 2026 DI PASAI SIONG
- JBS Sarawak
- Hits: 10
Disediakan oleh : TT, PBSB Sibu
SIBU, 12 APRIL 2026 – Semangat perpaduan dan kecergasan terpancar jelas di Rumah Panjang Jelian Lama, Pasai Siong hari ini menerusi penganjuran program Ruai-Fit 2026. Program yang berlangsung meriah ini merupakan inisiatif murni anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam usaha membawa kesedaran gaya hidup sihat terus ke komuniti akar umbi.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Rosalia, Penyelia Promosi Kesihatan UNIMAS. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penjagaan kesihatan yang holistik dan peranan institusi pendidikan dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Selain daripada aktiviti kecergasan, Ruai-Fit 2026 turut diisi dengan pelbagai sesi perkongsian ilmu yang bermanfaat. Menariknya, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Sibu telah diberi penghormatan untuk turut serta sebagai rakan strategik bagi menyuntik elemen pembangunan belia dalam program tersebut.
Slot perkongsian berkaitan Program Rakan Muda telah disampaikan oleh Encik Melvin Chambai Anak Gurang, Penolong Belia dan Sukan Bahagian Sibu. Beliau telah memberikan pencerahan terperinci mengenai nafas baharu Rakan Muda yang merangkumi pelbagai gaya hidup positif, bertujuan untuk membentuk karakter belia yang lebih dinamik, kompetitif, dan memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi.
Kehadiran PBSB Sibu dalam program ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS), malah sebagai platform untuk mendekati golongan belia di kawasan Pasai Siong agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan modal insan negara.
Syabas diucapkan kepada UNIMAS atas penganjuran yang cemerlang dan terima kasih kepada penduduk Rumah Panjang Jelian Lama atas sambutan yang amat luar biasa!
"Segalanya Bermula Di Sini"
"Rakan Muda: Yakin Boleh!"
#PBSBSibu #RakanMuda #RuaiFit2026 #UNIMAS #BeliaSibu #GayaHidupSihat #TeamKBS #JBSNBersama #MalaysiaMadani #KBSMalaysia
