- JBS Sarawak
- Hits: 30
Mesyuarat JPPBGP Perkukuh Sinergi Agensi Dan Pemerkasaan Sukan Komuniti Di Sibu
- JBS Sarawak
- Hits: 30
Disediakan oleh : TT, PBSB Sibu
SIBU, 9 MAC 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu terus komited dalam memperkukuh kerjasama antara agensi melalui penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Penyelenggaraan Bangunan Guna Sama Persekutuan (JPPBGP) Bil. 1/2026. Mesyuarat yang bermula jam 9.00 pagi itu telah diadakan di Bilik Mesyuarat Tingkat 9, Wisma Persekutuan Blok 3, Sibu.
Sesi mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Puan Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu merangkap Pengerusi Jawatankuasa. Kehadiran seramai 16 orang wakil daripada pelbagai agensi yang menghuni Wisma Persekutuan membuktikan kesepakatan jitu dalam memastikan pengurusan bangunan kerajaan sentiasa berada pada tahap yang optimum.
Agenda utama mesyuarat tertumpu kepada penyelarasan aspek penyelenggaraan dan pengurusan fasiliti guna sama. Perbincangan dua hala ini bertujuan memastikan setiap ruang dan kemudahan di Wisma Persekutuan diselenggara dengan cekap demi menjamin keselamatan serta keselesaan warga kerja penjawat awam dan para pelanggan yang hadir berurusan setiap hari.
Selain isu teknikal bangunan, mesyuarat turut menyelitkan pengisian penting berkaitan pembangunan sukan melalui sesi Taklimat Dana Sukan Komuniti (DSK). Melalui taklimat ini, para wakil agensi diberi pendedahan mengenai peluang permohonan dana yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyokong penganjuran aktiviti sukan di peringkat komuniti masing-masing.
Dalam pada itu, Puan Nur Fatheen turut menekankan kepentingan tadbir urus sukan yang sah melalui taklimat Penubuhan Kelab Sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Inisiatif ini bertujuan memberi panduan kepada agensi-agensi terlibat mengenai prosedur pendaftaran kelab sukan yang betul bagi memastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan mematuhi perundangan dan mendapat pengiktirafan rasmi.
Secara keseluruhannya, mesyuarat ini bukan sahaja berjaya mencapai kata putus dalam hal ehwal penyelenggaraan, malah menjadi platform penting dalam menyemarakkan budaya gaya hidup aktif dan tadbir urus sukan yang sistematik di Bahagian Sibu.
Sinergi yang terjalin ini diharapkan dapat diteruskan demi kecemerlangan perkhidmatan dan kesejahteraan komuniti sukan setempat.
#KBSMalaysia #PBSBSibu #TeamKBS #JBSNBersama #WismaPersekutuanSibu #DanaSukanKomuniti
