- JBS Sarawak
- Hits: 8
Saberkas Batai Ai Juara Kejohanan Sepak Takraw Song 2026
- JBS Sarawak
- Hits: 8
Disediakan oleh: M. Sherman, JBSN Sarawak.
KAPIT, 4 MAC 2026 – Pekan Song kembali rancak dengan penganjuran sukan kompetitif apabila Kejohanan Sepak Takraw Regu Lelaki Song 2026 berjaya melabuhkan tirainya pada 1 Mac lalu. Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 28 Februari ini telah diadakan di Gelanggang Sukan Pelbagaiguna Pekan Song. Program ini merupakan inisiatif anjuran Kelab Sepak Takraw Genturung Katibas (STGK) yang telah mendapat kelulusan pembiayaan di bawah Dana Sukan Komuniti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi permohonan Jendela 1.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penglibatan sebanyak 27 buah pasukan dari pelbagai bahagian di seluruh negeri Sarawak. Terdahulu, majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Penasihat Kelab STGK, Encik Ambrose Abong Bugek serta diiringi oleh Pengerusi Kelab STGK, Encik Jesper Aut. Dalam ucapannya, beliau menyeru agar kelab-kelab sukan tempatan terus komited dan konsisten dalam memperkasakan pembangunan sukan sepak takraw, terutamanya bagi mencungkil bakat-bakat baharu di daerah Song dan Bahagian Kapit secara amnya. Manakala, Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit, Encik Martin Sherman Minggu.
Pasukan SABERKAS BATANG AI berjaya membuktikan kehebatan mereka dengan merangkul gelaran Johan, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala dan medal. Gelaran Naib Johan pula disandang oleh pasukan EVAVIOR yang memenangi wang tunai RM700, piala dan medal. Manakala tempat Ketiga Bersama dikongsi oleh pasukan KESTARBB dan KSTM E, di mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta piala dan medal.
#TeamKBS
#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMADANI
#pbsbkapit
#dskkbs2026
