- JBS Sarawak
- Hits: 57
Kelab Badminton Bletek Rancang Klinik Bakat April Ini di Kapit
- JBS Sarawak
- Hits: 57
Disediakan oleh: M.Sherman, JBSN Sarawak.
KAPIT, 13 Februari 2026 – Pembangunan sukan badminton di peringkat akar umbi di Kapit menjadi objektif utama Kelab Badminton Bletek dengan inisiatif penganjuran Klinik Badminton yang dijadualkan bermula pada bulan April depan.
Perkara ini dibincangkan dalam satu sesi perjumpaan strategik yang diadakan di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian (PBSB) Kapit semalam. Dalam pertemuan tersebut, wakil kelab telah membentangkan kertas kerja cadangan program yang menyasarkan penyertaan bakat-bakat muda tempatan.
Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit, Puan Olivia Kaminis, yang mempengerusikan sesi tersebut, menyambut baik usaha proaktif kelab berkenaan. Beliau turut mengambil peluang memberikan penerangan ringkas mengenai pelbagai inisiatif dana sokongan yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang boleh dimanfaatkan oleh persatuan sukan berdaftar.
Sesi kemudian diteruskan dengan taklimat teknikal oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Encik Martin Sherman Minggu. Beliau telah memberi perincian mengenai tatacara dan prosedur permohonan dana yang betul bagi memastikan setiap permohonan mematuhi syarat yang ditetapkan serta melancarkan proses kelulusan. Kerjasama erat antara PBSB Kapit dan badan sukan seperti Kelab Badminton Bletek ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pelapis badminton yang berkaliber di Bahagian Kapit.
#TeamKBS
#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMadani
#pbsbkapit
