- JBS Sarawak
- Hits: 36
Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Pertandingan Aerobic Dance dan Cheerleading Peringkat Kebangsaan
- JBS Sarawak
- Hits: 36
Disediakan oleh: RJH, JBSN Sarawak
KUCHING, 17 Disember 2025 – Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak bagi menyertai Pertandingan Aerobic Dance dan Cheerleading Peringkat Kebangsaan telah berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, sebagai tanda sokongan dan restu kepada para atlet yang akan membawa nama Sarawak di pentas kebangsaan. Penyerahan bendera kontinjen melambangkan amanah, semangat kesukanan serta komitmen tinggi atlet dan pegawai dalam mengharumkan nama negeri.
Dalam ucapannya, Tuan Lamat menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan kontinjen Sarawak yang disertai atlet-atlet muda dan berpotensi besar. Beliau turut menekankan kepentingan disiplin, kerja berpasukan dan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. Selain itu, beliau berharap penyertaan ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman berharga kepada atlet, khususnya dalam membentuk jati diri serta kecemerlangan sukan.
Kontinjen Sarawak dijadualkan bertanding dari 19 hingga 21 Disember 2025 di dua lokasi berbeza.
Bagi acara Aerobic Dance, pertandingan akan diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, melibatkan Kategori Remaja (bawah 17 tahun) dan Kategori Dewasa (18 tahun ke atas).
Sementara itu, pertandingan Cheerleading akan berlangsung di Sunway Velocity dengan penyertaan Kategori Level 0 (7 hingga 12 tahun) dan Kategori Level 1 (13 hingga 17 tahun).
Majlis ini turut dihadiri pegawai jabatan, jurulatih, ibu bapa serta atlet-atlet yang terlibat, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kontinjen Sarawak menjelang kejohanan tersebut.
