- JBS Sarawak
- Hits: 104
Sukan Komuniti Pribumi Sarawak 2025 Bahagian Kapit Semarakkan Semangat Kesukanan di Belaga
- JBS Sarawak
- Hits: 104
Disediakan oleh: M. Sherman, JBSN Sarawak.
BELAGA, 31 Oktober 2025 - Program Sukan Komuniti Pribumi Sarawak 2025 Bahagian Kapit yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025 di Uma Penan Talun, Sungai Koyan, Belaga telah berjaya menarik penyertaan lebih 300 orang peserta daripada pelbagai komuniti pribumi sekitar Sungai Asap dan Belaga. Program ini turut dijayakan bersama Kejohanan Futsal Murum 2025 anjuran Kelab Belia Asap Koyan (KBAK).
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit (PBSB Kapit) dengan kerjasama KBAK ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Kennedy Chukpai Ugon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.66 Murum. Turut hadir ialah Encik Sylvester George, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap, serta Penghulu Dominic Minggu Magui, Ketua Masyarakat Suku Kaum Penan.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program seperti Pertandingan Futsal Lelaki, Pertandingan Bola Tampar Wanita, Pertandingan Tarik Tali Campuran serta Pemeriksaan Kesihatan Percuma kepada penduduk setempat. Dalam majlis yang sama, KBAK turut menerima sijil pengiktirafan penarafan empat (4) bintang daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia sebagai pengiktirafan atas keaktifan kelab tersebut. Sijil tersebut telah disampaikan oleh YB Kennedy Chukpai Ugon kepada Encik Mike Callean Dem, Pengerusi KBAK.
PBSB Kapit merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik yang turut menjayakan penganjuran program ini termasuk Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap, JKKK Uma Penan Talun, JKKK Uma Badeng, JKKK Uma Daro, Pusat Khidmat ADUN Murum, Saberkas Murum, Sarawak Energy Berhad (SEB), Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, dan Pejabat RELA Daerah Belaga. Penganjuran ini bukan sahaja memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan antara komuniti pribumi, tetapi turut menjadi platform penting dalam mempromosikan gaya hidup sihat serta penglibatan belia luar bandar dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
#TeamKBS
#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMadani
#pbsbkapit
