- JBS Sarawak
- Hits: 102
Sukan Ping Pong Mampu Menyatukan Perpaduan Masyarakat Di Sebalik Perbezaan Latar Belakang
- JBS Sarawak
- Hits: 102
Disediakan oleh: NZS, PBSB Betong
BETONG, 30 OKTOBER 2025 – Kelab Ping Pong Sri Benak Sri Aman telah menganjurkan Kejohanan Ping Pong Beregu (Lelaki Dan Perempuan) Perpaduan Bahagian Betong Dan Bahagian Sri Aman 2025 pada 25 Oktober 2025 bertempat di Aras UG, Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri, Bahagian Betong.
Kejohanan ini diadakan sebagai satu pendedahan serta pengalaman langsung kepada AJK kelab dalam merancang dan mengendalikan sesuatu kejohanan. Selain itu, ianya juga sebagai satu platform untuk mencungkil serta mengasah bakat permainan ping pong dalam kalangan peserta.
Penganjuran kejohanan ini juga sebenarnya dapat membina jaringan hubungan bagi mengukuhkan lagi kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat dengan pihak kelab serta menyokong usaha kerajaan bagi menggalakkan kegiatan sukan dan gaya hidup aktif dalam kalangan ahli dan masyarakat umum.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Cik Nurulzamzam binti Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong. Syabas kepada Encik Tan Kok Chin, Presiden Kelab Ping Pong Sri Benak Sri Aman dan seluruh AJK kelab atas kejayaan penganjuran kejohanan tersebut.
Tahniah kepada semua pasukan dari Bahagian Betong dan Sri Aman yang telah menyahut cabaran untuk menyertai kejohanan pada kali ini. Semoga ianya dapat menjadi pemangkin untuk meneruskan usaha meningkatkan kualiti permainan serta mencapai kejayaan berterusan di masa akan datang di samping mengukuhkan perpaduan masyarakat di antara dua bahagian. Pelaksanaan kejohanan telah disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di bawah Dana Sukan Komuniti (DSK).
