- JBS Sarawak
- Hits: 123
Hari Sukan Negara Miri 2025 Semarakkan Budaya Sihat Dan Perpaduan
- JBS Sarawak
- Hits: 123
Disediakan Oleh : Steph. W.S, JBSN Sarawak
MIRI, 20 OKTOBER 2025 – Semangat kesukanan dan gaya hidup sihat terus disemarakkan apabila Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Bahagian Miri 2025 berlangsung dengan meriah di perkarangan Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada 18 Oktober 2025. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang yang turut merakamkan penghargaan kepada warga Miri atas penyertaan aktif dan sokongan padu terhadap program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga dengan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang mencerminkan kesedaran tinggi terhadap kepentingan sukan dan gaya hidup sihat. Beliau turut menegaskan bahawa sukan merupakan instrumen penting dalam menyatukan rakyat, selain membantu menurunkan kadar penyakit kronik melalui amalan hidup aktif dan cergas.
Sambutan kali ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Senamrobik Ria MADANI, Kayuhan Ria MADANI, Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI, serta aktiviti sampingan dan pameran kesihatan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat. Turut hadir memeriahkan acara ialah Encik Mohamad Mazlan Anis, Pengarah IKBN Miri; Encik Roley anak Lagir, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri; serta Encik Edward Tawang, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Miri dan Puan Ananie Sharon anak Ricky Simpie, Tadbir Pejabat Daerah Subis.
#TeamKBS
#TeamJBSN
#JBSNKomited
#MalaysiaMADANI
#PBSBMiri
