KEM BELIA @ RAKAN PRIHATIN PERINGKAT BAHAGIAN SIBU 2025

KEM BELIA @ RAKAN PRIHATIN PERINGKAT BAHAGIAN SIBU 2025

Disediakan oleh: Afif, JBSN Sarawak

SIBU, 24 Ogos 2025 – Seramai 60 orang pelajar dari enam buah sekolah menengah sekitar Sibu telah menyertai Kem Belia @ Rakan Prihatin Peringkat Bahagian Sibu 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Ogos 2025 di Kem Belia Kemuyang, Sibu. Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Jalan Oya, SMK Kampung Nangka, SMK Luar Bandar Sibu, SMK Methodist, SMK Bukit Assek dan SMK Agama Sibu. Penyertaan ini membuktikan sokongan padu pelbagai pihak dalam melibatkan golongan belia dalam program berstruktur yang memberi nilai tambah kepada pembangunan diri mereka.

Sepanjang kem, para peserta berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti yang dirangka khusus untuk membentuk sahsiah dan jati diri, antaranya Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti hutan, ceramah motivasi, perkongsian ilmu serta sesi kesedaran bersama agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Aktiviti-aktiviti ini diadakan dengan objektif untuk memperkukuh disiplin, kepimpinan, serta semangat berpasukan dalam kalangan peserta. Majlis penutupan kem ini telah disempurnakan oleh Encik Safidi bin Tumboh, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sibu yang mewakili Residen Bahagian Sibu. Turut hadir, Encik Jeremy Ling Beng Leh, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sibu mewakili Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, serta Puan Nur Fatheen Khairuzan Bt Seleman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu yang turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha membangunkan potensi belia di bahagian ini.

Kem ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak serta Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan kerjasama Kelab Belia Jalan Lanang. Penganjuran program ini diharap dapat menjadi wadah terbaik dalam melahirkan golongan belia yang bukan sahaja berpengetahuan dan berdisiplin, malah prihatin serta mampu menyumbang kembali kepada masyarakat. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, sekolah, fasilitator serta pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini.
#PBSBSibu
#JBSNBersama
#MalaysiaMadani
#TeamJBSN

Image
Aras 3, Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Sarawak
Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce
93150 Kuching Sarawak.
Tel : 082-240631 / 082-248321
Fax : 082-244537

http://www.jbsn.gov.my/jbs-sarawak

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search