Festival Tari Dan Lagu Melayu Asli (FTLA) Sarawak Ke-35 2025

Festival Tari Dan Lagu Melayu Asli (FTLA) Sarawak Ke-35 2025

Disediakan oleh : NZS, PBSB Betong 

BETONG, 12 OGOS 2025 – Majlis Seni Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong akan menganjurkan Festival Tari dan Lagu Melayu Asli Sarawak Ke-35 2025 bermula pada 12 Ogos 2025 sehingga 16 Ogos 2025 bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong. Pelaksanaan adalah bagi peringkat zon tengah yang melibatkan bahagian Betong, Sarikei, Sibu dan Kapit.

Pelbagai aktiviti kesenian telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut seperti Bengkel Kesenian Desa, rancangan bual bicara ‘Ngelakar Seni’ beserta persembahan band tempatan, pertandingan tarian dan lagu melayu asli. 

Antara objektif penganjuran adalah untuk memelihara serta memulihara seni dan budaya, membangun, menggalak serta menyemarak kesenian dalam masyarakat, melahirkan bakat dalam seni tari serta lagu melayu asli yang berkualiti dan sebagai platform bagi mengangkat serta memartabatkan karya seni Sarawak.

Untuk memastikan kelancaran pelaksanaan festival tersebut, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 11 Ogos 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Hamdan bin Haji Katang, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Betong. Sesi penerangan program telah disampaikan oleh Puan Easter Melebeh, wakil dari Majlis Seni Sarawak. 

Kehadiran mesyuarat telah disertai oleh pelbagai jabatan kerajaan, sekolah, persatuan dan kelab di bahagian Betong. Hadir bersama ke mesyuarat ini ialah Cik Nurulzamzam bt Hj Shafi’ie, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong. 

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir memberi sokongan kepada peserta pertandingan tarian dan lagu melayu asli di hari kemuncak festival iaitu pada 16 Ogos 2025, Sabtu. Acara akan bermula pada jam 7.30 malam di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong. 

Image
Aras 3, Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Sarawak
Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce
93150 Kuching Sarawak.
Tel : 082-240631 / 082-248321
Fax : 082-244537

http://www.jbsn.gov.my/jbs-sarawak

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search