TABATA & SENAMROBIK CETUS SEMANGAT KOMUNITI DI SAMARAHAN PROGRAM MALAYSIA AKTIF @ KOMUNITI 2025 SIRI KE-6 TERUS TARIK PENYERTAAN RAMAI

TABATA & SENAMROBIK CETUS SEMANGAT KOMUNITI DI SAMARAHAN PROGRAM MALAYSIA AKTIF @ KOMUNITI 2025 SIRI KE-6 TERUS TARIK PENYERTAAN RAMAI

Disediakan oleh : NL (JBSN Sarawak)

SAMARAHAN, 19 Julai – Semangat kecergasan dan kebersamaan terus memuncak apabila Program Malaysia Aktif @ Komuniti 2025 peringkat Bahagian Samarahan melabuhkan tirai bagi siri keenam dengan sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, diadakan pada Sabtu lalu bertempat di Perkarangan The Summer Shopping Mall.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, dengan kerjasama Kelab Sukan Kecergasan Kota Samarahan menyasarkan pendekatan turun padang bagi menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk interaksi komuniti serta menyampaikan maklumat sahih berhubung dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Siri ke-6 ini memberi fokus kepada aktiviti kecergasan intensif menerusi sesi TABATA dan Senamrobik, yang berjaya menarik ramai penyertaan dari pelbagai lapisan usia. Menariknya, sesi tersebut dikendalikan secara profesional oleh barisan jurulatih kecergasan bertauliah, iaitu:

En. Sukiman Bin Adenan (KBSI/ZIN TM Suqie),
Pn. Kamalia Anum Binti Zainal (ZIN TM K),
Pn. Hana Suraya Binti Ahmad (ZIN TM Hana Suraya).
Menampilkan tema pakaian berwarna kuning, peserta tampil ceria dan bersemangat, menyemarakkan suasana program dengan simbolik warna yang melambangkan tenaga positif, perpaduan dan kesedaran sivik. Suasana lokasi program dimeriahkan dengan iringan muzik kecergasan, gelak tawa dan sorakan semangat daripada para peserta yang bersemangat mengharungi sesi senaman berdurasi hampir dua jam.

Program ini akan diteruskan setiap minggu dengan pengisian lebih bertenaga dan inklusif. “Sambutan masyarakat amat memberangsangkan dan ini membuktikan bahawa program komuniti seperti ini relevan dan ditunggu-tunggu oleh rakyat,” jelas jurucakap Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan.

Program Malaysia Aktif @ Komuniti dijangka akan menjadi antara medium paling berkesan dalam menyatukan rakyat melalui pendekatan santai, sihat dan penuh makna.

Image
Aras 3, Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Sarawak
Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce
93150 Kuching Sarawak.
Tel : 082-240631 / 082-248321
Fax : 082-244537

http://www.jbsn.gov.my/jbs-sarawak

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search