MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGARA (MPBN) BAHAGIAN SAMARAHAN TAHUN 2025

MAJLIS PERUNDINGAN BELIA NEGARA (MPBN) BAHAGIAN SAMARAHAN TAHUN 2025

Disediakan oleh : NL (JBSN Sarawak)

SAMARAHAN, 18  Julai 2025 : Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Bahagian Samarahan Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya di sini pada Khamis.

Majlis berkenaan telah dipengerusikan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat serta dihadiri wakil-wakil agensi kerajaan, pertubuhan belia, kelab dan persatuan dari seluruh Bahagian Samarahan.

MPBN yang ditubuhkan sejak tahun 1971 berperanan sebagai platform perunding utama bagi menghimpunkan pandangan, suara dan aspirasi generasi muda demi pembangunan negara. Di peringkat bahagian, MPBN berfungsi sebagai medium penting untuk membincangkan isu dan keperluan belia secara konstruktif dan inklusif.

Menurut Rais Ahmat, pelaksanaan MPBN di peringkat akar umbi amat penting dalam usaha memperkasa golongan belia tempatan agar mereka dapat menyuarakan pendapat serta menyumbang secara aktif dalam proses pembangunan negara.
“Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak bersama rakan strategik dari kalangan kelab dan persatuan belia di Bahagian Samarahan perlu terus bekerjasama dalam menjayakan MPBN ini.“Peranan mereka amat penting bagi mengenal pasti isu-isu belia di lokaliti masing-masing untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, segala dapatan dan perbincangan yang dikemukakan dalam MPBN peringkat bahagian ini akan menjadi input berharga dalam merangka dasar serta program belia yang lebih holistik, sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030.

Antara objektif utama MPBN ialah menyediakan ruang dialog antara belia dan kerajaan, memperkukuh jaringan kerjasama serta melahirkan belia yang dinamik, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global. Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Abu Zaid Abu Bakar, wakil Pejabat Daerah, wakil agensi pelaksana serta wakil pertubuhan belia termasuk Saberkas Cawangan Muara Tuang, Stakan, Asajaya dan kelab serta persatuan belia tempatan.

Image
Aras 3, Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Sarawak
Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce
93150 Kuching Sarawak.
Tel : 082-240631 / 082-248321
Fax : 082-244537

http://www.jbsn.gov.my/jbs-sarawak

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 12:48:01

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search