
- JBS Sarawak
- Hits: 58
Malaysia Benam Vietnam 4-0 Dalam Kelayakan Piala Asia 2027
- JBS Sarawak
- Hits: 58
Disediakan oleh : RJH, JBSN Sarawak
KUCHING, 10 Jun 2025 – Malaysia mencipta kemenangan bergaya apabila membenam Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang ditayangkan secara langsung menerusi skrin besar di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak malam ini.
Sorakan gemuruh penonton bergema apabila skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi mantap sepanjang perlawanan. Jaringan pertama hadir pada minit ke-49 menerusi J. Figueiredo, disusuli R. Holgado pada minit ke-59. L. Corbin-Ong menambah jaringan ketiga pada minit ke-67 sebelum D. Cools melengkapkan kemenangan bergaya dengan jaringan keempat pada minit ke-88.
Acara tayangan skrin besar anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan bermula jam 7.00 malam seperti cabutan tiket bertuah, mini car & bike gathering, senam aerobik, pameran “mari mencuba” serta jualan daripada food truck dan jualan tempatan. Kehadiran orang ramai jelas menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta sokongan padu kepada pasukan negara.
Turut hadir adalah Tuan Lamat Anak Nyalau, Pengarah JBSN Sarawak, dan Puan Fatimah Bt Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN Sarawak yang turut meluangkan masa bersama komuniti setempat memeriahkan acara.
Program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam komuniti, malah memberi peluang kepada golongan belia untuk turut sama menyemarakkan semangat patriotik melalui sukan.
Dengan kemenangan ini, Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk mara ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi. Tahniah Harimau Malaya!
#TeamKBS
#TeamJBSN
#TeamSukan
#JBSNSarawak
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama