
- JBS Sarawak
- Hits: 48
KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH JBSN KEPADA MENTERI BELIA, SUKAN DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN SARAWAK
- JBS Sarawak
- Hits: 48
Disediakan oleh : RJH, JBSN Sarawak
KUCHING, 26 Mac 2025 – Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Sri Haji Abd Karim Rahman Hamzah, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Puan Azura Binti Abidin, di pejabatnya di Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Belia dan Sukan), YB Dato Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Encik Morshidi Fredrick, Timbalan Pembangunan Rakan Muda JBSN, Encik Syamsul Tahrin Bin Mohd Tahir, serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Encik Lamat Anak Nyalau. Beberapa pegawai daripada kedua-dua kementerian juga hadir.
Kunjungan hormat ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara JBSN dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha pembangunan belia dan sukan. Antara inisiatif utama yang dibincangkan termasuk Program Integrasi Belia Semenanjung-Borneo, yang bertujuan memperkasa perpaduan dan pertukaran budaya antara belia dari Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak. Program ini akan memberi peluang kepada belia untuk memahami keunikan budaya, kepimpinan, dan keusahawanan di kedua-dua wilayah.
Selain itu, perbincangan turut menekankan pelaksanaan Program Sukarelawan Belia ASEAN (ASEAN Youth Volunteer Program) yang bertujuan melahirkan belia berjiwa sukarelawan dalam kalangan negara-negara ASEAN. Program ini akan memperkasa belia Sarawak dengan pengalaman dan kemahiran dalam bidang kesukarelawanan serta memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di peringkat antarabangsa.
YB Dato Sri Haji Abd Karim menyambut baik kerjasama ini dan berharap ia dapat memperkukuh jaringan strategik antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam pembangunan belia. Beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti ini amat penting dalam membentuk belia yang dinamik, berdaya saing, dan berwawasan tinggi.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus bekerjasama dalam melaksanakan program pembangunan belia yang lebih inklusif dan berimpak tinggi demi manfaat generasi muda Malaysia.
#TeamKBS
#TeamJBSN
#TeamSukan
#JBSNSarawak
#JBSNBersama
#MalaysiaMADANI
#IhsanMADANI
#HarungiBersama