HARI PERTAMA PKJDB MELAKA 2026 : LANGKAH PERTAMA MEMBINA JATI DIRI DAN JIWA KEPIMPINAN

BATU GAJAH, 19 Oktober 2026 – Program Kepimpinan dan Jati Diri Belia (PKJDB) Peringkat Negeri Melaka 2026 telah melengkapkan pengisian hari pertama dengan penuh semangat dan komitmen daripada para peserta.

Seramai 41 orang peserta telah memulakan perjalanan dari Melaka menuju ke Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM), Batu Gajah, Perak, bagi mengikuti program pembangunan kepimpinan yang berlangsung selama lima hari, bermula 19 hingga 23 Oktober 2026.

Pengisian hari pertama dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti Sesi Ice Breaking yang bertujuan membina keserasian, meningkatkan keyakinan diri serta mengeratkan hubungan antara peserta.

Program diteruskan dengan Sesi Pembahagian Kumpulan sebagai langkah awal memupuk semangat berpasukan, kerjasama, komunikasi berkesan dan nilai kepimpinan dalam kalangan peserta.

Selain pembangunan kepimpinan dan sahsiah, aspek kerohanian turut diberikan penekanan apabila para peserta Muslim dipertanggungjawabkan untuk sentiasa menunaikan solat secara berjemaah sepanjang program berlangsung.

Pendekatan ini merupakan sebahagian daripada usaha membentuk generasi belia yang bukan sahaja memiliki daya kepimpinan dan ketahanan mental, malah turut mengutamakan disiplin, nilai murni serta keseimbangan pembangunan jasmani dan rohani.

Hari pertama membuka langkah, empat hari lagi menanti dengan pelbagai cabaran, pengalaman dan ilmu baharu!

Semoga setiap pengisian program menjadi pemangkin dalam melahirkan pemimpin belia Melaka yang berintegriti, berdisiplin, berkeyakinan dan berdaya saing.

  JATI DIRI DIPERKASA, KEPIMPINAN DIBINA, BELIA MELAKA TERUS BERJAYA!

Image
Jalan Tasek, Ayer Keroh,
75450 Melaka
Tel : 06-2345900/901/902/903 | Fax : 06-2345905

jbsnmlk@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-melaka

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 21-10-2026, 16:55:38

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search