- JBS Melaka
- Hits: 9
MAJLIS PERASMIAN HARI SUKAN NEGARA (HSN2026) PERINGKAT NEGERI MELAKA SATUKAN KOMUNITI, SEMARAKKAN GAYA HIDUP AKTIF
- JBS Melaka
- Hits: 9
MELAKA, 18 OKTOBER 2026 – Semangat kesukanan, perpaduan dan gaya hidup aktif terus membara apabila sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Melaka 2026 berlangsung meriah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka (KOMBES), dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha membudayakan sukan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
Sambutan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBSNM) ini telah dirasmikan oleh YB Datuk P. Shanmugam a/l V. Pitchay, EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Melaka mewakili YAB Ketua Menteri Melaka yang menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan sukan serta menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Turut hadir memeriahkan sambutan ialah YB Tuan Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya; YB Datuk Haji Rais bin Datuk Wira Yasin, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka; serta Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, YBrs. Cik Azma binti Deris, wakil Kementerian Belia dan Sukan serta YBrs. Encik Ahmad Syammeil bin Mohamad Karim, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.
Pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi telah dilaksanakan bagi memberikan peluang kepada masyarakat untuk menyertai aktiviti fizikal dalam suasana yang meriah, inklusif dan penuh semangat kebersamaan. Sambutan ini bukan sahaja menggalakkan penyertaan aktif masyarakat, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan antara komuniti dan agensi yang terlibat.
Selaras dengan tema “Sukan Menyatukan Kita”, HSN 2026 membuktikan bahawa sukan bukan sekadar medan pertandingan untuk mengejar kemenangan, tetapi juga wadah menyatukan rakyat tanpa mengira usia, latar belakang dan keupayaan. Semangat ini menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih sihat, cergas, harmoni dan sejahtera.
JBSNM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama, khususnya agensi kerajaan, rakan strategik, pasukan media, sukarelawan, petugas serta seluruh warga kerja JBSNM yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran HSN.
