PROGRAM KEM BELIA @RAKAN PRIHATIN 2026 DAERAH JASIN PERKUKUH JATI DIRI DAN SEMANGAT KESUKARELAWANAN BELIA

MERLIMAU, 16 Ogos 2026 – Program Kem Belia @Rakan Prihatin 2026 Daerah Jasin telah berlangsung selama tiga hari, bermula 14 hingga 16 Ogos 2026, bertempat di MD Resort Pantai Siring, Merlimau.

Program ini merupakan satu inisiatif pembangunan belia yang memberi penekanan kepada aspek pembentukan sahsiah, kepimpinan, jati diri, kesukarelawanan serta kesedaran terhadap isu-isu sosial dalam kalangan generasi muda.

Kem ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Solok Kilang Berapi bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin, serta melibatkan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Jasin, Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, Pejabat AADK Daerah Jasin dan Cawangan Anti Keganasan PDRM.

Penglibatan pelbagai agensi dan rakan strategik dalam program ini mencerminkan pendekatan bersepadu dalam membentuk generasi belia yang bukan sahaja aktif dan berdaya saing, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab sosial, kesejahteraan komuniti serta keselamatan masyarakat.

Sepanjang tiga hari pelaksanaan, para peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti berbentuk pembangunan diri, kerja berpasukan, kepimpinan, kesedaran kesihatan, pencegahan penyalahgunaan dadah serta kesedaran berkaitan ancaman keganasan dan keselamatan.

Program sebegini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara golongan belia dengan agensi kerajaan serta pertubuhan belia di peringkat daerah, di samping membuka ruang kepada peserta untuk membina jaringan persahabatan dan pengalaman baharu.

Melalui pelaksanaan Kem Belia @Rakan Prihatin 2026, diharapkan para peserta dapat membawa pulang nilai-nilai positif yang diterapkan sepanjang program untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian, seterusnya menjadi belia yang berilmu, berdisiplin, prihatin, bertanggungjawab dan aktif menyumbang kepada masyarakat.

Image
Jalan Tasek, Ayer Keroh,
75450 Melaka
Tel : 06-2345900/901/902/903 | Fax : 06-2345905

jbsnmlk@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-melaka

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 17-08-2026, 09:48:58

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search