- JBS Melaka
- Hits: 29
PROGRAM INTERVENSI BELIA TIDAK BERPERSATUAN PERINGKAT NEGERI MELAKA 2026 (SUMMER CAMP BELIA)
- JBS Melaka
- Hits: 29
PAHANG | 25 Julai 2026 – Seramai 30 orang pelajar sekolah, melibatkan penyertaan wakil dari setiap daerah di Negeri Melaka, telah menyertai Program Intervensi Belia Tidak Berpersatuan Peringkat Negeri Melaka 2026 (Summer Camp Belia) yang berlangsung pada 25 hingga 26 Julai 2026 di Rumah Rakit Amaraisya, Kuala Rompin, Pahang.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dengan kerjasama strategik Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Jasin ini merupakan inisiatif bagi mendekati golongan belia yang tidak berpersatuan serta menggalakkan mereka menyertai pertubuhan belia sebagai platform pembangunan diri, kepimpinan, kesukarelawanan dan khidmat kepada masyarakat. Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai peranan dan kepentingan pertubuhan belia dalam membentuk sahsiah, meningkatkan kemahiran insaniah serta melahirkan belia yang aktif dan berdaya saing.
Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai sesi perkongsian, perbincangan berkumpulan dan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang memberi penekanan kepada pembinaan jati diri, komunikasi berkesan, semangat kerjasama serta kepimpinan. Program ini diharap dapat membuka ruang kepada para peserta untuk lebih mengenali fungsi dan manfaat penyertaan dalam pertubuhan belia sebagai medium pembangunan potensi diri dan komuniti.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. En. Mohamad Suhaizan bin Selamat, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, diiringi oleh YBrs. En. Muhammad Abdul Hafidz bin Mohd Amin, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.
Semoga penganjuran program ini menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai belia yang aktif menyertai pertubuhan belia, berdaya saing, berdisiplin, berkeyakinan serta mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi, sekali gus memperkukuh pembangunan belia di Negeri Melaka selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
