- JBS Melaka
- Hits: 34
FESTIVAL BELIA @ HARI BELIA NEGARA 2026 : MELAKA TERUS PERKASA AGENDA BELIA
- JBS Melaka
- Hits: 34
JASIN, 27 Jun 2026 – Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Melaka membuka tirainya dengan penuh gilang-gemilang apabila majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka di Stadium Jasin.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh meriah itu menghimpunkan ribuan belia dari seluruh negeri Melaka bersama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan belia, badan bukan kerajaan (NGO), rakan strategik dan masyarakat setempat dalam meraikan sambutan Hari Belia Negara 2026.
Majlis Perasmian tersebut turut diserikan dengan kehadiran Dr. Zainah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia) Jabatan Belia dan Sukan Negara; Encik Zailani Siran, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka; serta Datuk Khaidirah Abu Zahar, Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka.
Turut hadir ialah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan, wakil agensi kerajaan, pemimpin pertubuhan belia, pemimpin masyarakat serta para jemputan.
Dalam ucapannya, Ketua Menteri Melaka menegaskan bahawa golongan belia merupakan tonggak utama pembangunan negeri dan negara. Beliau turut menyeru agar belia terus memperkasa potensi diri, mengasah bakat serta memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan yang lebih progresif, berdaya saing dan berteraskan semangat Malaysia MADANI.
Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Melaka menawarkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran agensi, program keusahawanan, aktiviti kesukarelawanan, sukan dan rekreasi, pertandingan, persembahan pentas serta pelbagai aktiviti interaktif yang memberi manfaat kepada golongan belia dan seisi keluarga.
Penganjuran festival ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Melaka bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dalam memperkukuh agenda pembangunan belia melalui platform yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi demi melahirkan generasi belia yang berwibawa, berdaya tahan dan bersedia memacu kemajuan negeri.
