- JBS Melaka
- Hits: 16
RIM X BELIA BERSELAWAT SEMARAKKAN FESTIVAL BELIA @ HARI BELIA NEGARA 2026 NEGERI MELAKA
- JBS Melaka
- Hits: 16
JASIN, 26 Jun 2026 – Program Rim X Belia Berselawat sempena Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Negeri Melaka telah berlangsung dengan penuh penghayatan dan kemeriahan di perkarangan Stadium Jasin, malam tadi.
Program yang menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan itu dimulakan dengan alunan qasidah, diikuti majlis selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, sekali gus mewujudkan suasana penuh keberkatan dan keharmonian.
Kemuncak program diserikan dengan persembahan khas daripada Mawi dan Oja GegarVaganza, yang berjaya memukau para hadirin menerusi alunan selawat dan lagu-lagu kerohanian, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Tazkirah yang disampaikan oleh Imam Muda Ashraf bertemakan Kecintaan Kepada Rasulullah SAW telah menyentuh hati para hadirin, menghidupkan rasa cinta serta kerinduan yang mendalam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Pengisian penuh hikmah itu bukan sahaja memberi ketenangan jiwa, malah menjadi inspirasi untuk terus mencontohi akhlak dan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Zailani Siran, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka; Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim; serta Datuk P. Shanmugam A/L V. Pitchay, Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Melaka.
Penganjuran Rim X Belia Berselawat bukan sahaja menjadi platform memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan belia, malah turut mengeratkan ukhuwah dan perpaduan masyarakat menerusi pengisian kerohanian yang memberi inspirasi.
Program ini merupakan antara pengisian utama Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Negeri Melaka dan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dun Rim, yang menghimpunkan pelbagai aktiviti pembangunan belia, sukan, kesukarelawanan dan kerohanian bagi membentuk generasi belia yang seimbang, berdaya saing dan berakhlak mulia.
