PAMERAN INTERAKTIF KIBAR MELAKA 2026 PERKUKUH JALINAN AGENSI KERAJAAN DAN KOMUNITI

AYER MOLEK, 13 Jun 2026 – Pameran Interaktif sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Melaka 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dataran SRA JAIM Kampung Paya Redan, Ayer Molek, melibatkan penyertaan tujuh agensi kerajaan yang mempamerkan pelbagai perkhidmatan, inisiatif dan maklumat kepada masyarakat setempat.

Pameran tersebut turut menerima kunjungan YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, yang meluangkan masa beramah mesra bersama peserta pameran, wakil agensi serta penduduk setempat yang hadir memeriahkan program.

Penganjuran pameran ini menjadi medium penting dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui pendekatan yang lebih santai, mesra dan interaktif. Pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat secara terus daripada wakil agensi, sekali gus meningkatkan kefahaman mengenai pelbagai kemudahan, bantuan dan peluang yang ditawarkan oleh kerajaan.

Selain menjadi platform perkongsian maklumat, pameran ini turut berjaya memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan dan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi KIBAR untuk memperkasa pembangunan masyarakat serta meningkatkan penglibatan komuniti dalam agenda pembangunan negara.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam Pameran Interaktif ini ialah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Melaka (AADK), Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan (ABM), Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia dan IKTBN Alor Gajah.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan Pameran Interaktif KIBAR Melaka 2026. Penglibatan aktif semua pihak telah menyumbang kepada kejayaan program serta memberi impak positif kepada komuniti akar umbi.

Image
Jalan Tasek, Ayer Keroh,
75450 Melaka
Tel : 06-2345900/901/902/903 | Fax : 06-2345905

jbsnmlk@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-melaka

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 17-08-2026, 09:48:58

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search