SEMARAK BELIA HBN 2026 MELAKA RAIH SAMBUTAN HANGAT, LEBIH 1,000 BELIA BERHIMPUN DI SERKAM

SERKAM, 15 Mei 2026 – Program Semarak Belia @Hari Belia Negara 2026 Negeri Melaka berjaya mencipta suasana penuh meriah dan bertenaga apabila menghimpunkan seramai 1,123 peserta di SMK Seri Mahkota, Serkam, Jasin.

Majlis perasmian program berprestij ini telah disempurnakan oleh Datuk Haji Zaidi Bin Atan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam. Kehadiran beliau menyerlahkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan belia selaras dengan aspirasi Menggerak Belia Madani.

Turut memeriahkan majlis ialah barisan kepimpinan dan pegawai kanan pelbagai agensi termasuk Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Bin Ranom; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Encik Zailani Bin Siran; Encik Jamsari Bin Mariman, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka; Puan Norhayati Binti Abdul Samad, Pengetua SMK Seri Mahkota; Encik Muhammad Amirul Asyraff Bin Kamarudin, Wakil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin; Mohd Hazriq Bin Abu Zarin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin; Encik Md Yusuf Bin Haji Muhamad, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin; dan Encik Ah Koon, Pengurus Besar Ban Zen Motors Melaka.

Penganjuran program ini turut disokong oleh kerjasama erat pelbagai pihak antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, SMK Seri Mahkota, Japerun Serkam, Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka, Gerakan Belia 4B Kawasan Jasin, Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin, Ancient Galaxy Esports Hub serta Kelab Belia Generasi Bukit Serkam.

Pelbagai aktiviti menarik dan berimpak tinggi telah disusun bagi memenuhi minat generasi muda masa kini. Antaranya termasuk pertandingan Poster AI dan Cabaran TikTok yang telah dilaksanakan lebih awal di peringkat sekolah, selain pameran interaktif Rakan Muda, persembahan gamelan, lafaz Ikrar Belia Malaysia serta aktiviti sukan elektronik (eSports) melibatkan permainan PS5 dan simulator perlumbaan.

Selain itu, program ini turut membuka peluang kepada para belia untuk mendaftar sebagai ahli serta menyertai komuniti sukan elektronik, sejajar dengan perkembangan industri digital yang semakin pesat.

Secara keseluruhannya, penganjuran Semarak Belia @HBN 2026 Negeri Melaka bukan sahaja berjaya menghimpunkan belia dari pelbagai latar belakang, malah menjadi platform penting dalam memupuk semangat kesukarelawanan, kreativiti dan jati diri dalam kalangan generasi muda.

Program ini jelas membuktikan bahawa belia merupakan nadi utama pembangunan negara yang terus digerakkan ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Image
Jalan Tasek, Ayer Keroh,
75450 Melaka
Tel : 06-2345900/901/902/903 | Fax : 06-2345905

jbsnmlk@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-melaka

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 21-10-2026, 16:55:38

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search