PROGRAM KEMAHIRAN LATIHAN ASAS SUKAN (KLAS) RENANG FASA 3 SIRI 1 TAHUN 2025 PERINGKAT DAERAH JASIN BERJALAN LANCAR

Jasin, Melaka – Program Kelas Renang Fasa 3 Siri 1 Tahun 2025 Peringkat Daerah Jasin telah berjaya dilaksanakan selama dua hari, iaitu pada 13 dan 14 Disember 2025, bertempat di Kolam Renang MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin.
Program ini merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia (MASWIM), bertujuan memberi pendedahan asas kemahiran renang kepada para peserta khususnya dalam aspek teknik renangan, keselamatan di dalam air serta peningkatan tahap kecergasan fizikal.
Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah sekitar Daerah Jasin telah mengambil bahagian dalam program ini. Sepanjang pelaksanaan, para peserta didedahkan dengan latihan intensif merangkumi teknik renang asas dan lanjutan, disiplin semasa berada di dalam air serta pembinaan keyakinan diri.
Program ini dikendalikan oleh jurulatih renang bertauliah dan berpengalaman, dengan pemantauan rapi bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa berada pada tahap tertinggi. Komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta amat memberangsangkan serta mendapat maklum balas positif daripada pihak penganjur.
Penganjuran Kelas Renang Fasa 3 ini diharap dapat melahirkan lebih ramai murid yang mahir berenang, sekali gus menjadi platform awal untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan akuatik di peringkat daerah dan negeri. Program ini juga selari dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan dalam membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
Secara keseluruhannya, Kelas Renang Fasa 3 Siri 1 Tahun 2025 Peringkat Daerah Jasin telah mencapai objektif yang ditetapkan dan berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Image
Jalan Tasek, Ayer Keroh,
75450 Melaka
Tel : 06-2345900/901/902/903 | Fax : 06-2345905

jbsnmlk@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-melaka

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-02-2026, 15:28:53

Copyright © 2026 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search