- JBS Melaka
- Hits: 54
KERJASAMA TANPA SEMPADAN JADI KUNCI KEJAYAAN JBS NEGERI MELAKA
- JBS Melaka
- Hits: 54
MELAKA, 30 November 2025 – Kesepakatan, kerjasama dan semangat sehati sejiwa tanpa mengira skim perkhidmatan menjadi resipi utama kejayaan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBSNM) dalam melaksanakan pelbagai program besar-besaran, termasuk kejayaan terbaharu Kembara Jumpa Orang Muda (KJOM) 2.0 Zon Selatan 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah baru-baru ini.
.
Di bawah pimpinan Pengarahnya, Encik Zailani bin Siran, JBSNM membuktikan bahawa kekuatan sebenar jabatan bukan hanya terletak pada bilangan kakitangan, tetapi pada perpaduan 52 orang warganya yang sentiasa komited turun padang – sama ada pegawai, pembantu tadbir, staff kontrak, pemandu mahupun staf sokongan pelbagai skim perkhidmatan.
.
Sepanjang tahun ini, JBSNM berjaya menganjurkan rangkaian program utama KBS peringkat negeri seperti Hari Belia Negara, Hari Sukan Negara, Liga Sukan Komuniti, Malaysia Aktif @ Parlimen Hang Tuah Jaya serta Majlis Perundingan Belia Negeri Melaka. Setiap program bukan sekadar berjalan lancar, malah turut mendapat sambutan luar biasa daripada belia dan komuniti setempat.
.
Lebih manis, kejayaan penganjuran KJOM 2.0 Zon Selatan 2025 mengukuhkan lagi reputasi JBSNM sebagai jabatan yang mampu menggerakkan tenaga kerja pelbagai skim dengan efektif dan harmoni. Semangat setiakawan ini jelas membuktikan bahawa setiap peranan—kecil atau besar—mempunyai sumbangan besar dalam memastikan program KBS terus memberi manfaat kepada masyarakat.
.
JBSNM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan yang sentiasa memberikan komitmen terbaik, serta kepada para rakan strategik, sukarelawan dan komuniti yang turut sama menjayakan setiap program sepanjang tahun.
.
Dengan kekuatan pasukan yang bersatu hati, JBS Negeri Melaka terus optimis melakar lebih banyak kejayaan dalam agenda pembangunan belia dan sukan di negeri ini. Terus maju JBSNM!
