- JBS Melaka
- Hits: 7
PROGRAM RAKAN MUDA RAKAN DEMOKRASI DEKATKAN BELIA DENGAN PROSES PILIHAN RAYA
- JBS Melaka
- Hits: 7
MELAKA, 14 Oktober 2025 – Seramai 100 orang pelajar Tingkatan Enam beserta guru prngiring dari sekolah-sekolah sekitar Daerah Melaka Tengah telah menyertai Program Rakan Muda Rakan Demokrasi: Undi Orang Muda Simulasi Pilihan Raya Peringkat Daerah Melaka Tengah Siri 1/2025 yang berlangsung di SMK Seri Tanjung, Melaka.
Program ini merupakan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah dengan kerjasama Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Bukit Tinggi Kawasan Bukit Katil, serta sokongan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka.
Tujuan utama penganjuran adalah untuk memberi pendedahan awal kepada golongan muda mengenai sistem demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia melalui kaedah interaktif serta aktiviti simulasi pilihan raya sebenar.
Program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan belia agar lebih memahami tanggungjawab sebagai pengundi muda yang berinformasi dan beretika. Program ini bukan sekadar memberi pengetahuan tentang proses pilihan raya, tetapi juga membina semangat kepimpinan dan jati diri dalam kalangan belia sebagai pewaris masa depan negara.
Antara pengisian menarik program ialah simulasi penuh proses pilihan raya, merangkumi sesi penamaan calon, kempen, pembuangan undi, dan pengiraan undi yang dijalankan mengikut prosedur sebenar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Aktiviti ini turut mendapat bimbingan daripada pegawai Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka bagi memastikan pendedahan yang tepat dan praktikal.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Encik Zulkifli Bin Amil, Penolong Kanan Pentadbiran bagi mewakili Pengetua SMK Seri Tanjung, Melaka. Turut hadir sama memeriahkan majlis ialah YBrs Encik Wan Mohd Jefri Bin Wan Hussin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah serta Saudara Muhammad Shafiq Bin Ab Majid, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah.
